Langkahan skuad futsal negara di Kejuaraan Futsal ASEAN 2024 tersekat di peringkat kumpulan setelah tewas 1-3 kepada tuan rumah Thailand pada Selasa.
Thailand mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi Attipong Munplhai dan Thanawat Koedbangrachan sebelum Malaysia merapatkan defisit jaringan menerusi pemain senior Abu Haniffa Hasan pada minit ke-31.
Tuan rumah bagaimanapun menutup peluang kebangkitan Malaysia setelah mendapatkan jaringan ketiga menerusi Charoen Phong lima minit sebelum tamat perlawanan.
Kekalahan kedua dalam tiga perlawanan itu menyaksikan skuad Rakphol Sainetngam hanya mengutip tiga mata hasil kemenangan 11-0 dalam perlawanan pembukaan menentang Brunei pada Ahad.
Kemudiannya mereka tewas kepada Vietnam dalam perlawanan kedua dengan jaringan 0-2 pada Isnin. Perlawanan terakhir kumpulan menentang Timor Leste pada Rabu akan menjadi sekadar pelengkap jadual perlawanan buat Malaysia.
Baca juga : Saravanan, Sean Hilang Dari Radar, Kerana Berada Di Bawah Jurulatih Yang Salah
Sebagai rekod, ini adalah kali ketiga berturut-turut Malaysia gagal melepasi halangan peringkat kumpulan di Kejuaraan Futsal ASEAN setelah turut kandas pada edisi 2019 dan 2022.
Thailand yang mengumpul 9 mata setelah mencatat kemenangan ketiga sedang menerajui Kumpulan A, dan mereka akan bertemu Vietnam yang turut mengutip 9 mata untuk menentukan juara kumpulan.
Menariknya sepanjang 17 edisi Kejohanan Futsal ASEAN dianjurkan sejak 2001, Thailand muncul juara sebanyak 16 kali. Mereka hanya terlepas kejuaraan sekali pada 2010, itupun kerana tidak mengambil bahagian.