Gabriel Palmero masih kekal optimis sementara menantikan keputusan akhir FIFA berhubung penggantungan setahun yang dikenakan terhadapnya.
Pemain warisan itu merupakan antara tujuh pemain kebangsaan yang digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak oleh badan induk dunia tersebut, susulan dakwaan bahawa dokumen pendaftaran mereka telah dipalsukan.
Keputusan itu turut menyebabkan kelabnya di Divisyen Ketiga Sepanyol, Unionistas de Salamanca, menggantung penyertaannya.
Walaupun berdepan ketidaktentuan, pemain berusia 23 tahun itu berikrar tidak akan berputus asa.
Menerusi hantaran di Instagram pada Ahad, Palmero menulis mesej ringkas namun penuh tekad dalam bahasa Sepanyol: “Lucharla hasta el final” yang bermaksud “Berjuang hingga ke penghujung.”
Palmero, yang sudah memiliki empat caps bersama skuad kebangsaan dan dilihat sebagai antara prospek paling cerah negara di posisi bek kiri, kini berdepan cabaran panjang untuk membersihkan namanya.
Sudah 10 hari sejak FIFA menjatuhkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung dakwaan pemalsuan dokumen yang mengklasifikasikan tujuh pemain tersebut sebagai warganegara Malaysia.
FAM diberikan tempoh 10 hari untuk mengemukakan rayuan, namun FIFA masih belum mengeluarkan alasan penuh penghakiman tersebut.
Menurut FIFA, badan bola sepak Malaysia itu telah menyerahkan dokumen yang diubah suai ketika proses pengesahan kelayakan untuk perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
Tujuh pemain yang terlibat ialah Palmero, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Jon Irazábal, dan Héctor Hevel.
Setiap pemain turut dikenakan denda sebanyak 2,000 franc Swiss (kira-kira RM10,570), manakala FAM pula didenda sebanyak 350,000 franc Swiss (sekitar RM1.85 juta).
FAM dalam satu kenyataan terbaru memaklumkan mereka masih menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada FIFA.
“Proses rayuan hanya dapat dimulakan sebaik sahaja dokumen penuh keputusan tersebut diterima secara rasmi. Pasukan guaman FAM telah bersedia untuk mengambil sebarang tindakan lanjut sejurus dokumen berkenaan diperoleh.
“Sebaik sahaja keputusan penuh diterima, pasukan guaman FAM akan mengemukakan rayuan dengan dokumen sokongan yang kukuh.”