Pertahanan tengah KL City, Giancarlo Gallifuoco dikatakan berada dalam radar untuk menjadi pemain naturalisasi baru skuad Harimau Malaya.
Revolusi Harimau Malaya yang telahpun disepak-mula menerusi pelantikan Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih, turut memberi indikasi akan berlakunya perubahan yang cukup besar dalam wajah skuad kebangsaan.
Lebih ramai pemain warisan sedang diburu menerusi usaha oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang merupakan pencetus kepada revolusi ini. Dalam masa sama jumlah pemain-pemain naturalisasi juga akan bertambah sebagai solusi jangka pendek.
Baca juga: Fernandez Prospek Perkuat Harimau Malaya
Sebelum ini, Tunku Ismail sendiri ada memberitahu Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo bakal dinaturalisasi untuk memperkuatkan Harimau Malaya.
Terbaru, spekulasi bertiup kencang, pemain pertahanan tengah KL City, Giancarlo Gallifuoco juga berada dalam radar untuk menjadi pemain naturalisasi baru.
Siapa Gallifuoco?
Sepertimana Bergson dan Manuel Hidalgo, Gallifuoco telah bermain di Liga Malaysia sejak 2021 dan akan memasuki musim kelimanya pada 2025.
Pemain dari Australia ini telah memainkan peranan penting dalam memacu kebangkitan skuad City Boys sejak beberapa musim kebelakangan, termasuklah membantu mereka muncul juara Piala Malaysia 2021 dan naib juara Piala AFC 2022.
Pemain berusia 30 tahun ini juga merupakan bekas pemain skuad Tottenham Hotspur dan Swansea B-21; dan kemudian membina karier senior di negara kelahirannya bersama Melbourne Victory dalam saingan A-League pada 2015.
Gallifuoco kemudian kembali ke England untuk bermain dengan kelab divisyen rendah iaitu Torquay United dan Dover Athletic sebelum berkelana sekejap di Itali pada 2018 untuk bermain dengan kelab Serie C, FC Rieti selama beberapa bulan.
Selepas itu dia pulang ke Australia, bermain dengan Western Sydney Wanderers, Central Coast Mariners dan kembali ke Melbourne Victory dan akhirnya dipancing KL City pada Februari 2021.
Meskipun tidak pernah bermain dengan skuad kebangsaan Australia, Gallifuoco pernah membuat beberapa penampilan bersama skuad B-23 Socceroos.
Australian-connection antara Cklamovski dan Gallifuoco juga mungkin menjadi antara faktor pemain itu dipertimbangkan secara serius. Jika benar pemain ini dinaturalisasikan, pastinya akan menambah lebih pilihan di benteng terakhir skuad kebangsaan.