HomeSukanGarrido selar keadaan padang selepas Sabah tewas mengejut

Garrido selar keadaan padang selepas Sabah tewas mengejut

Kekalahan tanpa diduga di tangan Kelantan Red Warrior jelas mengecewakan pengendalinya Juan Torres Garrido. Mengambil kira KRW tewas kesemua enam perlawanan terdahulu, Sabah dianggap tidak akan bermasalah meraih kemenangan.

Namun sebaliknya mereka berputih mata dan menjadi pasukan pertama untuk menghadiahkan mata kepada KRW. Tamat perlawanan, keadaan padang antara yang dikecam pengendali dari Sepanyol itu.

“Keadaan padang ini memalukan. Dua minggu lalu, kami bermain pada waktu malam tanpa lampu di Negeri Sembilan. Hari ini, keadaan padang memang sangat teruk. Semalam hujan di sini, perkara seperti ini boleh berlaku.

“Para pemain keletihan dan mengalami kekejangan otot kerana keadaan padang yang tidak ideal. Tetapi kedua-dua pasukan bermain di padang sama, jadi saya tidak mahu memberi alasan. Apa sekalipun, kami tidak sepatutnya bermain teruk seperti hari ini,” kata Garrido pada sidang media selepas perlawanan.

Garrido turut mengakui barisan pemainnya telah memandang rendah keupayaan KRW kendalian Irfan Bakti justeru memberikan kredit kepada lawan yang menurutnya memang berhak untuk meraih tiga mata.

“Jelas sekali, kami beranggapan kami sudah menang sebelum benar-benar mendapatkannya, dan Kelantan membuktikan pada separuh masa kedua bahawa mereka mampu meraih tiga mata. Kredit harus diberikan kepada mereka.

“Hari ini, ada satu pasukan yang lebih mahukan kemenangan, lebih menginginkan tiga mata. Mereka berjuang lebih kuat daripada kami.”

Pada perlawanan itu, Sabah berada di depan pada minit ke-32 menerusi tandukan Jose Angel setelah menerima hantaran Sho Yamamotio. Namun KRW bangkit di babak kedua, menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian Rizuan Muda pada minit ke-72 sebelum mengesahkan kemenangan menerusi penyudah sempurna Emmanuel Mbarga.

RELATED ARTICLES

Most Popular