HomeSukanGhaddar Selar KDNFC, Kecewa Dengan Janji Palsu Presiden

Ghaddar Selar KDNFC, Kecewa Dengan Janji Palsu Presiden

Masalah Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) atau kini dikenali dengan nama Kelantan The Real Warriors nampaknya tidak berkesudahan.

Jika sebelum ini mereka diserang pemain-pemain musim terdahulu berhubung tuntutan pembayaran tunggakan gaji, kali ini mereka dibidas bekas pemain import Kelantan, Mohamed Ghaddar yang bersuara mewakili pemain import yang dibawanya menyertai pasukan itu awal bulan ini, iaitu Moaiad Alkhouli.

Menurut Ghaddar, kelab itu telah menawarkan kontrak kepada Alkhouli untuk musim 2025/26 (dari 7 Julai ke 31 Mei) dan pemain itu juga telah melepasi ujian perubatan, namun mereka tidak jadi menandatanganinya tanpa sebarang alasan.

Malah dia menyatakan kekecewaan terhadap Presiden kelab Tan Sri Annuar Musa dan CEO pasukan, Dato’ Mohd Irwan Rizal yang menurutnya membuat banyak janji palsu.

“Saya datang ke sini dengan komitmen penuh untuk membantu kelab dan presidennya , malah menggunakan wang saya sendiri untuk membawa pemain Syria itu, percaya dengan projek yang mereka janjikan.

“Malangnya ini ternyata menjadi salah satu pengalaman terburuk yang saya alami dalam bolasepak. Presiden tidak jujur dan telah membuat banyak janji palsu. Sekarang dia dan CEO telah berhenti membalas mesej saya.

“Pihak pengurusan telah menunjukkan profesionalisme sifar, gagal untuk memuktamadkan tandatangan dan meninggalkan saya untuk menangani akibatnya. Saya kembali dengan pemain itu, kecewa tetapi tetap dengan prinsip saya. Ini adalah kelab terburuk yang pernah saya tangani,” menurut Ghaddar.

Ghaddar kini menyerahkan kepada FIFA untuk membuat keputusan mengenai perkara ini.

Belumpun musim baru bermula nampaknya dua kelab di Kelantan sudahpun berdepan dengan masalah.

Sebelum ini sebuah lagi kelab, Kelantan Red Warrior yang beraksi di Liga A1 semi-pro dikenakan sekatan pendaftaran pemain oleh FIFA berhubung status semasa kelab itu menyebabkan mereka tidak dapat beraksi selagi tidak mendapat pelepasan.

Ini sekaligus menyaksikan AFL terpaksa menangguhkan terlebih dahulu dua perlawanan pertama membabitkan kelab bimbingan Irfan Bakti itu.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!