Generasi pada hari ini, mungkin terasa janggal apabila mendengar istilah golden goal ataupun gol emas di dalam bolasepak.
Ia peraturan yang pernah digunakan di pusingan kalah mati pertandingan bolasepak dari 1993 – 2004 bagi mencari pemenang sekiranya kedudukan terikat selepas tamat masa sebenar.
Secara mudah, sudden-death, siapa skor dulu dia menang!
Pasukan pertama yang skor gol di masa tambahan 30 minit, pasukan itu menang dengan peraturan gol emas. Tidak kira lah gol itu terhasil di minit pertama, kedua, seminit sebelum tamat, sebaik ada jaringan terhasil maka perlawanan berakhir.
Baca juga: Paolo Maldini Akui Dia Kegagalan Terbesar Dalam Sejarah Bolasepak
Mungkin dilihat agak kejam dan tidak adil untuk pasukan yang tewas, namun ia peraturan yang ada keunikan dan debarannya tersendiri.
Jika tiada jaringan terhasil, seperti biasa perlawanan berlanjutan ke sepakan penalti. Otai Station mengenang semula 7 daripada banyak perlawanan yang ditentukan dengan kemenangan gol emas, semua perlawanan berprofil tinggi!
Liverpool vs Deportivo Alaves, Piala UEFA 2001
Final Piala UEFA 2001 penuh dramatik, Liverpool mendahului 3-1 di separuh masa pertama, namun dua gol pantas Javi Moreno di awal separuh masa kedua mengikat kedudukan 3-3. Robbie Fowler mengembalikan kelebihan buat Liverpool pada minit ke-72 sebelum Jordi Cruyff mengheret perlawanan ke masa tambahan menerusi gol penyamaan dua minit sebelum tamat.
Ketika perlawanan seperti menuju ke penentuan penalti, gol sendiri Delfi Geli menghadiahkan kejuaraan kepada Liverpool. Gol ’emas’ sendiri, lain macam bunyinya.
Gol Emas Blanc: France vs Paraguay, Piala Dunia 1998
Dalam laluan muncul juara dunia pada 1998, France bertembung dengan Paraguay di pusingan kedua. Mempertaruhkan Jose Luis Chillavert di gawang, Paraguay menjadi pasukan pertama menghalang France yang gah meledak 9 gol di peringkat kumpulan menjaringkan gol. Begitupun kekebalan mereka runtuh menerusi rembatan jarak dekat Laurent Blanc pada minit ke-113.
Ia juga gol emas pertama dalam sejarah Piala Dunia.
Gol Emas Zidane: France vs Portugal, Euro 2000

Perlawanan separuh akhir penuh drama, kedudukan tamat 90 minit terikat 1-1 setelah Thierry Henry memadam jaringan Nuno Gomes. Pada hakikatnya kedua-dua pasukan sangat berhati-hati di masa tambahan, malah sudah bersedia untuk bermain di penentuan penalti.
Malang sekali buat Portugal dibarisi bintang hebat seperti Luis Figo, Rui Costa, Sergio Conceicao dan lain-lain, apabila bola rembatan Sylvain Wiltord terkena tangan Abel Xavier di akhir masa tambahan.
Pengadil awalnya memberikan sepakan penjuru, namun penjaga garisan mengesan insiden itu dan memberikan penalti. Setelah pertikaian dan protes panjang oleh Portugal, akhirnya Zinedine Zidane menyudahkan penalti untuk kemenangan buat France. Gol emas paling kontroversi dalam sejarah.
Gol Emas Amri: Selangor vs Sabah, Piala Malaysia 2002
Satu-satunya pasukan yang bertuah menjulang Piala Malaysia melalui gol emas sebanyak TIGA kali, Selangor.
Pada 1995 dan 1997, Red Giants melakukannya dengan menewaskan Pahang 1-0 dan mereka mengulanginya dengan menewaskan Sabah di hadapan 75,000 penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil menerusi jaringan Amri Yahyah pada minit ke-100.
Gol Emas Seng Kong: Perak vs Negeri Sembilan, Piala Malaysia 1998
Antara perlawanan penuh ikonik Piala Malaysia, siapa boleh lupa jaringan dan celebration Lim Seng Kong mengelilingi padang tanpa berbaju selepas meledak gol emas pada minit ke-97?
Dalam laluan muncul juara pada 1998, Perak dikerah bekerja keras menyingkirkan Negeri Sembilan di separuh akhir. Perlawanan pertama di Paroi berkesudahan 2-2, dan 0-0 di Ipoh, dan ianya Lim Seng Kong muncul wira tak diduga buat sang seladang.
Berpunca daripada gerakan counter attack, Seng Kong menyambut hantaran rakan sepasukan dan melepaskan rembatan jarak jauh yang menerjah jaring setelah gagal ditangkap kemas penjaga gol.
Gol Emas Trezeguet: Itali vs France, Euro 2000

Untuk memikirkan Italy hanya dipisahkan beberapa saat sahaja daripada muncul juara Euro 2000, sehingga ke hari ini dianggap heart-break terbesar mereka selepas kekecewaan di final Piala Dunia 1994. Mana tidaknya, Itali mendahului menerusi Mark Delvecchio, dengan hanya menanti wisel penamat untuk dibunyikan.
Namun, Sylvain Wiltord hadir sebagai penyelamat France menerusi jaringan di minit keempat masa kecederaan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan, sebelum David Trezeguet muncul wira dengan gol emas pada minit ke-103.
Jung Hwan: Itali vs South Korea, Piala Dunia 2002
Malam malang buat bolasepak Itali berdepan tuan rumah Korea Selatan, dalam perlawanan yang dipenuhi drama, kontroversi dan pengadilan buruk. Boleh dikatakan inilah perlawanan yang paling memalukan dalam sejarah Piala Dunia.

Turun sebagai antara pasukan pilihan, Itali tersingkir dengan cara yang tidak diredhai penyokong. Jaringan Christian Vieri dipadam Seol Ki Hyeon dua minit sebelum tamat 90 minit, dan ianya Ahn Jung Hwan yang bermain di Serie A menanduk masuk gol emas yang menyingkirkan Itali dari pertandingan.
Rentetan keputusan itu, Korea Selatan mencipta sejarah mara ke suku akhir kemudiannya separuh akhir buat kali pertama, dan Ahn Jung Hwan pula bermasalah dengan kelabnya Perugia kerana dianggap perosak bolasepak Itali.