Atlet muay thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib mencipta sensasi apabila menumbangkan petarung dari Rusia, Shamil Adukhov dalam aksi One Fight Night 28 pada Sabtu.
Aliff yang berasal dari Rantau Panjang, Kelantan, hanya memerlukan 1 minit 10 saat untuk menewaskan lawannya itu secara ‘knockout’ (KO) pada pusingan pertama di Bangkok, Thailand.
Kemenangan secara ‘knockout’ (KO) pada pusingan pertama itu secara tidak langsung membolehkannya membawa pulang bonus kemenangan AS$50,000 (RM222,000).
Dalam pertarungan kategori cathcweight itu, Aliff nyata dilihat lebih bersedia berbanding Adukhov yang juga pendatang baharu dalam ONE Championship.
Adukov sebenarnya merupakan pengganti kepada atlet Thailand, Thongpoon yang terpaksa menarik diri kerana kecederaan.
Kemenangan Aliff tercetus selepas dia menahan asakan daripada Adukhov sebelum melepaskan dua tumbukan ke bahagian kepala lawannya itu.
Dua tumbukan tersebut menyaksikan Adukhov tidak dapat bangkit untuk meneruskan perlawanan sekali gus memberikan kemenangan kepada Aliff.
Kejayaan itu juga menyaksikan dia melebarkan rekod kemenangan 7-2 dalam sembilan perlawanan sejak beraksi di bawah ONE Championship.
Malah, lebih membanggakan, lima kemenangan termasuk pada aksi hari ini diperolehi olehnya melalui KO.
Muaythai Malaysia dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan kemenangan itu adalah yang ketiga berturut-turut buat bakat sedang meningkat naik itu.