Pasukan kerdil daripada Liga Divisyen Dua England, Grimsby Town didapati bersalah kerana menurunkan pemain yang tidak layak ketika menyingkirkan Manchester United daripada saingan Piala Carabao, minggu lalu.
Grimsby menjadi tumpuan dunia bolasepak, apabila pasukan yang menurunkan pemain-pemain separuh masa itu menang menerusi penentuan penalti ke atas United yang membariskan skuad terkuat mereka.
Namun, kemenangan itu nyaris diragut, apabila mereka dikesan menurunkan Clarke Oduor, pemain yang menyertai mereka dari Bradford City sehari sebelum perlawanan menentang United.
Perlawanan tersebut menjadi penampilan sulung buatnya dalam jersi Grimsby Town, apabila dia masuk di babak kedua, malah satu-satunya pemain pasukan itu yang gagal menyempurnakan penalti ketika penentuan.
Namun, Oduor kemudian didapati didaftarkan Grimsby, seminit selepas jam 12 tengah hari pada tarikh tutup pendaftaran 26 Ogos. Dalam satu kenyataan, English Football League menyatakan kelab itu sendiri telah melaporkan kesilapan itu dan mengenakan hukuman ke atas mereka.
Bagaimanapun, hasrat Manchester United untuk mendapat kemenangan percuma daripada kesilapan tersebut, tidak kesampaian, kerana hukuman dijatuhkan EFL ke atas Grimsby bukanlah menyingkirkan mereka daripada pertandingan.
Sebaliknya, Grimsby atau dikenali sebagai The Mariners dikenakan denda kerana melanggar peraturan pertandingan.
“Lembaga EFL, yang bertindak sebagai Jawatankuasa Pengurusan Carabao Cup, hari ini mengenakan denda terhadap Grimsby Town Football Club sebanyak £20,000 – dengan £10,000 akan dibawa sehingga ke akhir musim 2025/26 dan akan berkuatkuasa sekiranya mereka mengulangi kesilapan sama, sepertimana ketika menentang Manchester United.”
Dalam banyak perlawanan pusingan kedua yang berlangsung minggu lalu, kekalahan Manchester United dianggap paling berprofil tinggi mengambil kira reputasi mereka sebagai gergasi Liga Perdana Inggeris.