HomeSukanHector Hevel Yakin Dapat Noktahkan Badi 11 Tahun Vietnam

Hector Hevel Yakin Dapat Noktahkan Badi 11 Tahun Vietnam

Pemain tengah, Hector Hevel, komited membantu Harimau Malaya menamatkan kemarau kemenangan selama 11 tahun ke atas Vietnam apabila kedua-dua pasukan berentap dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Selasa ini.

Hevel yang menjaringkan satu gol ketika membuat debut bersama skuad kebangsaan dalam aksi menentang Nepal Mac lalu, percaya moral dan mentaliti semua pemain berada pada tahap terbaik.

“Memang kami tahu sudah sekian lama pasukan tidak dapat mengatasi Vietnam. Mereka memang pasukan yang kuat dan bermain dengan baik. Tapi kami juga ada kekuatan tersendiri dan sudah menganalisis bagaimana untuk cipta kelebihan dalam perlawanan nanti.

“Saya yakin kami akan turun dengan lebih bersedia. Kekuatan Malaysia sekarang tidak sama dengan yang dulu, dan kami akan berusaha memanfaatkannya sebaik mungkin untuk membawa pulang tiga mata,” kata pemain berusia 29 tahun itu, dipetik dari BH Sukan.

Kali terakhir Malaysia menewaskan Vietnam adalah pada saingan Piala AFF 2014. Lapan pertemuan selepas itu menyaksikan skuad negara tewas tujuh kali dan mencatat satu keputusan seri.

Baca Juga: Harimau Malaya Sudah Hilang Identiti

Tambah pemain berdarah kacukan Malaysia-Belanda itu, kehadiran enam pemain warisan baharu turut menyuntik kekuatan baharu kepada skuad negara.

“Skuad kali ini lebih mantap dengan kemasukan beberapa pemain baharu berdarah warisan. Ia memberikan dimensi tambahan kepada pasukan dan saya percaya semua pemain sudah bersedia sepenuhnya untuk berikan yang terbaik,” ujarnya yang bakal menyarung jersi Johor Darul Ta’zim musim depan selepas menamatkan kontrak bersama Portimonense SC di Portugal.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini mengumumkan Facundo Garces, Jon Irazabal, Imanol Machuca, Rodrigo Holgado, dan Joao Figueiredo sebagai wajah baru skuad Peter Cklamovski.

Sementara itu, bercakap mengenai tumpuan peminat terhadapnya selepas mencipta impak dalam penampilan pertama, Hevel yang mempunyai keturunan Malaysia menerusi datuknya dari Melaka berkata dia tidak tertekan dengan harapan tinggi yang diletakkan ke atasnya.

“Tidak, saya tak rasa tekanan. Sudah tentu selepas menjaringkan gol pada debut, ramai yang beri tumpuan. Tapi itu tak bermakna saya perlu jaringkan gol setiap kali.

“Tugas saya lebih kepada menggerakkan bahagian tengah dan membantu mencipta peluang. Kadang-kadang bukan gol yang penting, tapi bagaimana kita bantu pasukan dengan cara lain,” jelasnya.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!