Aksi penentuan tempat ketiga Piala Futsal Malaysia, antara Sabah dan Johor Darul Ta’zim di N9 Arena, pada Sabtu mencuri tumpuan atas sebab yang tidak sepatutnya, apabila pengendali Sabah, Roger Filipe ‘ditumbuk’ penolongnya sendiri selepas perlawanan.
Justeru itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit dalam insiden tersebut.
“Kita sedang meneliti insiden pergaduhan itu dan menunggu laporan daripada pegawai perlawanan serta pengadil. Semua maklumat terbabit akan dikumpul dan diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk tindakan selanjutnya.
“Sekiranya didapati bersalah, jurulatih terbabit boleh dikenakan hukuman gantung dan denda,” kata Setiausaha Agung FAM dilaporkan Arena Metro.
Manakala Naib Presiden FAM, Datuk Rosmadi Ismail pula mengakui terkejut dengan apa yang disaksikan dan menegaskan badan induk itu tidak akan sesekali bertoleransi dengan kejadian seumpama ini.
Insiden panas itu tercetus selepas wisel penamat dibunyikan pengadil, di mana JDT yang gagal mempertahankan kejuaraan berjaya mengesahkan tempat ketiga dengan menewaskan Sabah 4-3.
Sabah mendahului 3-2 sehingga dua minit yang terakhir sebelum jaringan Firdaus Ambiah dan Ridzwan Bakri merubah skrip perlawanan.
Filipe yang tidak berpuas hati dan gagal mengawal emosi, bertindak agresif mahu menyerang kem JDT hingga memaksa pegawai sendiri cuba menenangkan keadaan.
Namun suasana bertambah tegang apabila penolong jurulatihnya tiba-tiba melepaskan satu tumbukan tepat ke wajah Filipe hingga beliau rebah terbaring di gelanggang.
Detik mengejutkan itu disiarkan secara langsung di Astro 801 malah turut dirakam penonton sebelum ianya tular di media sosial, sekali gus mencetus pelbagai reaksi dalam kalangan peminat futsal tanah air.
Lebih memalukan, insiden itu berlaku dalam pentas rasmi yang menjadi tumpuan ramai, sekali gus mencalar imej profesionalisme pasukan.