Issey Nakajima memberitahu kawannya Rob Friend datang ke Malaysia untuk kejutkan gergasi yang sedang tidur.
Bekas pemain Terengganu, Issey Nakajima-Farran yakin kawan lamanya, Rob Friend yang dilantik sebagai CEO pasukan kebangsaan, orang yang tepat untuk merubah nasib bolasepak Malaysia.
Bagi Issey, mengenang semula persahabatan dengan Friend, adalah seperti membuka sebuah lembaran yang penuh inspirasi.
Masing-masing pernah berkongsi cerita tentang visi, cita-cita, serta kehidupan selepas bolasepak ketika beraksi bersama dalam skuad kebangsaan Canada sekitar tahun 2006-2011.
“Saya tanya Rob apa dia nak buat selepas bersara. Kebanyakan pemain akan cakap nak jadi jurulatih, ejen, atau menyertai dunia pengulasan. Tetapi Rob memberitahu saya sesuatu yang buatkan saya tersentak.
“Katanya nak jadi seorang eksekutif bolasepak berjaya yang luar biasa,” ujar Issey yang masih belum melupakan perbualan itu, seperti dilaporkan NST Sports.
Jelas sekali, kata-kata Friend bukan sekadar omongan kosong. Selepas menggantung but pada 2014, dia menjadikan visi dan cita-citanya sebagai satu realiti dan membina portfolio yang begitu luar biasa hebat.
Baca juga: Jika Malaysia Tak Mahu, JDT Sedia Terima Rob Friend
Friend yang berusia 44 tahun, adalah pengasas bersama Pasific FC dan Vancouver FC; mengasaskan Toca Football Canada dan turut menjadi pengasas bersama Canadian Premier League.
Selain itu, Friend juga merupakan rakan kongsi pengurusan di DRG Investment Group dan SixFive Sports Fund; dan kini mengalih fokus ke rantau Asia Tenggara sebagai CEO Harimau Malaya.
Issey yang pernah bermain selama lima tahun di Liga Malaysia bersama Terengganu dan Sri Pahang, mengetahui secara langsung tentang potensi bolasepak Malaysia.
Malahan, Issey pernah berbual tentangnya bersama Friend sebelum dia dibawa masuk oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) lagi.
“Saya beritahu Rob bolasepak Malaysia ada banyak benda untuk ditawarkan – stadium yang besar, penyokong yang penuh bersemangat, dan kelab yang kaya dengan sumber. Mereka ada infrastruktur, keghairahan yang tidak dapat disangkal.
“Tetapi ada satu jurang, kurangnya professionalisma dalam beberapa aspek dan tidak menggunakan sebaiknya peluang dalam pemasaran.
“Tahu apa jawapan Rob? Saya mahu pergi kejutkan gergasi yang sedang tidur (bolasepak Malaysia),” kata Issey.