Suasana tidak sihat nampaknya mencemari Kongres Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang akan berlangsung pada 15 Februari depan.
Jika sebelum ini Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA) mendakwa terdapat pegawai atasan mereka menghantar borang pencalonan tanpa pengetahuan Presiden dan barisan exco lain, kes sama berlaku di sebuah persatuan yang berpangkalan di selatan tanah air.
Menurut laporan Arena Metro, situasi itu mengundang kemarahan Presiden persatuan bolasepak negeri terbabit, dan beliau sudah mengarahkan supaya borang pencalonan yang dihantar itu ditarik balik.
“Apa yang berlaku kepada MCFA turut terjadi kepada kami. Presiden memang kecewa kerana beliau tidak tahu menahu yang borang pencalonan dihantar tanpa pengetahuannya. Kesilapan ini dilakukan orang dalam persatuan dan satu tindakan tegas akan diambil ke atasnya,” ujar sumber tersebut.
Difahamkan, borang pencalonan dihantar tanpa pengetahuan Presiden, adalah bagi memastikan calon tertentu meraih pencalonan tertinggi seterusnya diisytiharkan menang tanpa bertanding.
“Apa yang berlaku ini sebab ada perancangan untuk membolehkan individu tertentu menang tanpa bertanding lebih awal. Maksudnya, apabila tarikh tutup penghantaran borang pencalonan Khamis depan, pihak Jawatankuasa Pemilihan akan mengumumkan calon bertanding.
“Jika satu-satu jawatan itu melebihi jumlah pencalonan, maka orang itu akan diumumkan pemenang tanpa bertanding pada bulan ini. Inilah suasana tidak sihat yang berlaku dan cubaan untuk memastikan demokrasi dalam pemilihan,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata pihaknya memandang serius perkara seperti ini dan menegaskan isu berkenaan perlu diselesaikan sebaiknya di peringkat dalaman persatuan bolasepak masing-masing.
Baca Juga: Posa Majais Mahu Bertanding Demi Cinta Kepada Bolasepak
Noor Azman turut mengingatkan supaya tidak mengaitkan nama FAM dengan isu penipuan borang pencalonan kerana badan induk itu hanya menguruskan hal-hal berkaitan surat menyurat, borang pencalonan dan notis kongres yang diserahkan kepada Setiausaha FA masing-masing melalui Sekretariat FAM.