Bukan Raja Bolasepak tetapi JDT Maharaja Teragung bolasepak tanah air.
Itu pandangan Rizal Sukiman, bekas pemain Johor dan kebangsaan era 90-an mengenai skuad JDT yang melakar pencapaian luar biasa musim ini.
Rizal berkata kejayaan memenangi piala di setiap peringkat umur sekaligus mencipta dominasi total, bermakna ungkapan Maharaja Teragung bolasepak adalah cukup tepat ditujukan kepada pasukan itu.
“Sebab kita tengok dia menang semua piala yang dipertandingkan, sebab itulah kita kena bagi gelaran yang paling atas. Kita tengok mereka memang ada satu keazaman untuk sentiasa menjadi yang terbaik.
“Mereka juga tidak suka kepada kekalahan, jadi sebab itulah mereka berada di tempat mereka sekarang. Selain JDT ini memang sudah kuat, mereka juga tiada saingan yang kuat, JDT ini memang ‘super wow’,” kata dilaporkan BH Sukan.
JDT pada 2024 telahpun memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Presiden (JDT III), Piala Belia (JDT IV), Piala Supermokh dan Juara Liga Remaja Singapura (Akademi JDT).
Baca juga: Tak Perlu Tuding Jari Salahkan JDT, Salahkan Sistem
Selain itu akademi mereka juga sudahpun mengesahkan tempat di pentas separuh akhir Liga KPM B-17. Malah lebih menarik skuad futsal JDT turut cemerlang bergelar juara berganda Liga Perdana Futsal Malaysia dan Piala Malaysia 2024.
“Kalau pasukan lain mungkin bentuk pasukan yang dua kali lebih kuat daripada musim sebelumnya. Tetapi JDT bentuk pasukan yang lima kali ganda lebih kuat.
“Daripada situ sahaja kita boleh tengok betapa berbezanya keazaman JDT untuk terus berada di atas,” tambah Rizal lagi.
Pada musim lalu, skuad Harimau Selatan menyamai sejarah milik Kedah, apabila muncul juara treble buat kali kedua berturut-turut (double treble).
Dengan prestasi semasa, hampir pasti tiada halangan untuk kelab itu mencipta sejarah lagi, hattrick treble di penghujung musim nanti. JDT Maharaja Teragung bolasepak tanah air!