Pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski memberi jaminan tempat di dalam skuad kebangsaan, tidak akan kekal menjadi milik pemain yang sama.
Tegasnya siapa sahaja yang pernah dipanggil, tidak bermaksud akan kekal menyarung jersi Harimau Malaya kerana mereka perlu bekerja keras untuk terus berada di dalam pasukan, dan tidak akan teragak-agak untuk mengugurkan mereka jika tidak memenuhi standard.
Dengan beberapa pemain warisan tidak akan menyertai kem kebangsaan pada September, Cklamovski membuka pintu seluasnya kepada mana-mana pemain untuk membuktikan kebolehan dan memikat hatinya, lantas tersenarai dalam call-up.
“Saya teruja untuk menyaksikan Liga Super bermula semula dan ada tempat yang boleh direbut. Saya sentiasa memantau persembahan mereka sebelum membuat pilihan untuk menghimpunkan yang terbaik.
“Saya rasa ya (peluang terbuka kepada semua pemain) dan saya ada mentaliti bahawa mereka yang memakai jersi Malaysia, hanya meminjamnya untuk sesuatu perlawanan semata-mata.
“Anda perlu mendapatkannya kembali pada perlawanan seterusnya. Saya harap semua pemain berada dalam keadaan lebih baik berbanding musim lalu dan memberikan yang terbaik supaya dapat dipilih,” katanya dipetik dari laporan Arena Metro.
Malaysia yang kali terakhir beraksi ketika membenam Vietnam 4-0 pada bulan Jun lalu, akan beraksi dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa dalam kalendar September nanti.
Mereka akan berdepan Singapura yang berada di ranking ke-159 dunia pada 4 September, disusuli perlawanan menentang Palestin (ranking ke-98 dunia) pada 8 September. Kedua-dua perlawanan dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Skuad Harimau Malaya pada asalnya dijadual beraksi dalam saingan Piala CAFA, namun membuat keputusan menarik diri dengan memberikan beberapa alasan.