Pemilik Johor Darul Takzim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempertahankan pemilihan pemain tengah veteran Natxo Insa untuk membarisi skuad Harimau Malaya, dan menekankan pemain itu masih relevan untuk menjadi nadi utama pasukan.
Natxo Insa antara yang disenaraikan Peter Cklamovski dalam call-up pertamanya sejak dilantik sebagai jurulatih baru skuad kebangsaan, menjelang aksi kelayakan Piala Asia menentang Nepal pada 25 Mac depan.
Ia sekaligus menimbulkan reaksi kurang senang dalam kalangan penyokong yang menganggap ada pemain yang lebih layak untuk disenaraikan.
Bagaimanapun Tunku Ismail berpendapat keputusan itu tepat berdasarkan statistik hebat pemain berusia 39 tahun itu sepanjang musim ini.
“Jika kita tengok pada statistik dia menurut laporan AFC – berapa jauh dia berlari, pressing intensity dia, hantaran dia – dia berada di tangga pertama ketika peringkat kumpulan.
“Jadi, Insa, bukan seperti Brendan Gan, ok? Di Malaysia, sesiapa yang gemar mengampu media akan disukai, siapa yang tidak, akan menjadi mangsa. Jika seorang pemain berdarah kacukan dan pandai bercakap dengan media, dia akan dipuji, tetapi ada di antara mereka tidak bagus. Manakala yang bermain bagus, tidak diberikan kredit yang sepatutnya.
“Kalau Insa tak bagus, kenapa dia masih boleh bermain di JDT. Takkan saya dan jurulatih masih nak dia ada di sini. Kita nilai berdasarkan fakta dan statistik, berapa kilometer dia berlari, berapa jarak dia cover.
“Mungkin dia tak selaju macam pemain yang lebih muda, sebab itu kita akan cari di posisi itu pemain yang lebih muda. Tetapi, dia pun harus ada di situ juga. Kita nak ada 30 pemain terbaik asalkan siapa kita tukar pun tetap pasukan kita kuat.
“Bagi saya, dia masih boleh menyumbang. Kalau dulu kita tengok pemain tua, (usia) 32 atau 33 tahun saja sudah tak boleh main. Sekarang ada nutrisi, teknologi, format latihan yang lebih strategik untuk pemain yang berusia.
“Cristiano Ronaldo dan Ibrahimovic pun main sampai tua, 40 tahun masih prestasi di tahap tinggi. Jadi saya tak tengok pada usia, saya tengok berdasarkan persembahan dan statistik mereka, bukannya berdasarkan pendapat dan kerana itulah Insa menjadi pemain yang penting dalam pasukan.
“Dia masih relevan di JDT, mungkin ada yang setuju, ada yang tidak. Tiada siapa persoalkan peranan Safiq Rahim atau Pereyra Diaz, namun kami telah menjadi juara selama 11 musim,” ujar baginda.
Rujukan: If Ronaldo Can, Why Not Natxo Insa?