Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) menyatakan rasa kecewa dengan tindakan skuad Harimau Malaya menarik diri daripada saingan Piala CAFA yang dijadual berlangsung 29 Ogos hingga 8 September depan.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Rabu memaklumkan keputusan itu dibuat kerana perubahan saat akhir tarikh penganjuran pertandingan itu yang jatuh di luar kalendar FIFA.
Menurut mereka, ia lantas memberikan cabaran segala aspek kepada skuad kebangsaan, dari sudut logistik, ketersediaan pemain, dan tahap kesiapsiagaan skuad secara keseluruhan.
Berita Berkaitan: Cklamovski Setuju Keputusan FAM Tarik Diri Piala CAFA
Bagaimanapun CAFA dalam satu kenyataan menyatakan rasa kesal dengan alasan diberikan FAM, sambil menafikan tentang berlakunya perubahan tarikh sepertimana didakwa.
“Penyertaan Malaysia sebelum ini telah disahkan lebih awal dengan pengetahuan penuh terhadap tarikh kejohanan (29 Ogos – 8 September) dan jadual perlawanan, dan ia tidak pernah berubah daripada awal.
“Malangnya, penarikan diri yang dibuat pada saat akhir ini telah menjejaskan persiapan penganjuran kejohanan yang sedang berjalan, khususnya apabila segala perancangan sudah berada di tahap akhir.
“FAM memaklumkan penarikan diri ini adalah kerana kejohanan tidak berlangsung sepenuhnya dalam kalendar rasmi FIFA, yang sekaligus akan menyebabkan pemain tidak mendapat pelepasan kelab mereka.
“Walau bagaimanapun, berdasarkan peraturan kejohanan, pendaftaran akhir pemain – yang dipilih daripada senarai awal 35 pemain – boleh dibuat secara perlawanan demi perlawanan. Ini memberikan fleksibiliti maksimum, termasuk peluang untuk pemain utama menyertai pasukan dalam aksi-aksi seterusnya.
“Apapun CAFA komited menganjurkan kejohanan berkualiti tinggi dan kompetitif demi rakyat Asia Tengah dan rantau sekitarnya. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua negara yang memberi sokongan dan kerjasama,” menurut kenyataan CAFA.
Sekiranya Malaysia kekal mengambil bahagian, mereka akan berdepan Tajikistan, Iran dan Afghanistan dalam Kumpulan B selain berpotensi bertemu dengan pasukan seperti Uzbekistan dan Oman sekiranya melepasi peringkat kumpulan.