HomeSukan"Kami Tidak Perlu Berasa Malu" - Yusri Che Lah

“Kami Tidak Perlu Berasa Malu” – Yusri Che Lah

Pengendali Perak, Yusri Che Lah berpendapat pasukannya tidak perlu malu untuk tersingkir dari saingan Piala Malaysia, setelah tewas 3-4 secara agregat kepada Sri Pahang.

Perak tiga kali bangkit mengikat kedudukan untuk mengakhiri perlawanan suku akhir kedua dengan keputusan 3-3 di Temerloh, namun kekalahan 0-1 ketika aksi pertama di Manjung menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.

“Kita seri tapi tewas dalam perjuangan ke separuh akhir. Bagi saya kita tak perlu malu apabila tewas macam ni, setelah apa yang disajikan pemain, mereka berjuang sehingga ke 95 minit.

“Saya cukup berpuas hati dengan comeback mereka, tiga kali ketinggalan kepada Pahang yang bermain di hadapan ribuan penyokong. Ketinggalan di separuh masa pertama dengan dua gol sebenarnya (aggregat). Sukar untuk mengejar tapi mental pemain cukup kuat, tiga kali kita bangkit ikat kedudukan di tempat lawan.

“Cuma satu sahaja, kita tidak seharusnya melakukan kesilapan-kesilapan sebegini yang tidak sepatutnya dalam perlawanan besar. Perlawanan besar memerlukan lebih ketenangan dan pengalaman, kita hadiahkan penalti yang tidak sepatutnya.

“Selepas skor gol kita nampak lebih tenang sikit dalam mengatur serangan, tetapi bukan rezeki kita. Pahang berbahaya ketika melakukan serangan balas, kredit kepada Haziq (Nadzli) yang bertindak cemerlang. Apapun, bagi saya kita tidak perlu malu, kita terus pandang ke depan,” ujar Yusri Che Lah.

Pada perlawanan tersebut, Manuel Hidalgo meletakkan Sri Pahang di depan seawal minit ke-5 sebelum Wan Zack Haikal mengikat kedudukan.

Kemudian, Hidalgo menyempurnakan penalti yang dihadiahkan setelah Firdaus Saiyadi menjatuhkan Sean Selvaraj pada minit ke-30. Perlawanan kembali terikat 2-2 menerusi jaringan Jesper Nyholm pada minit ke-42.

Namun Hidalgo melengkapkan hatriknya pada minit akhir separuh masa sekali lagi menerusi penalti, kali ini dihadiahkan selepas Kpah Sherman dijatuhkan Haziq Nadzli.

Jaringan Daniel Hakimi Azmil mengikat kedudukan 3-3 yang kekal sehingga tamat perlawanan, Sri Pahang mara menerusi agregat 4-3.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!