Tokoh veteran bolasepak, Datuk M. Karathu melahirkan rasa kesal terhadap kontroversi melibatkan pemain warisan, menyifatkannya sebagai “hari yang menyedihkan buat bola sepak Malaysia.”
Beliau menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengambil langkah sewajarnya demi memulihkan integriti pasukan bolasepak kebangsaan.
FIFA sebelum ini mengenakan denda sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.8 juta) terhadap FAM serta menggantung tujuh pemain warisan selama 12 bulan selepas mendapati wujud pemalsuan dalam dokumen pendaftaran mereka – perkembangan yang mengejutkan komuniti bolasepak tempatan.
Karathu, bekas jurulatih pasukan seperti Perak dan Kelantan serta pernah menyarung jersi skuad kebangsaan dari 1963 hingga 1970, berkata isu tersebut menimbulkan persoalan serius mengenai bagaimana proses itu dilaksanakan dan siapakah pihak yang terlibat.
“Kita perlu tahu bagaimana perkara ini dilakukan. Adakah melalui ejen? Apa yang mendorong pemain-pemain ini membuat keputusan untuk mewakili Malaysia hanya ketika mereka berusia 28 atau 29 tahun?” kata Karathu.
“Jika benar, ini merupakan sesuatu yang amat menyedihkan untuk bola sepak Malaysia. Malah, ia boleh dianggap satu aib.”
Figura berusia 82 tahun itu, yang telah lebih lima dekad terbabit dalam arena bola sepak, menegaskan bahawa ketelusan amat penting dalam menyelesaikan isu berkenaan dan menggesa FAM memastikan perkara seumpama ini tidak berulang.
“Saya sudah lama berada dalam bola sepak – sebagai pemain, jurulatih dan pengarah teknikal. Saya sudah melihat pelbagai perkara. Daripada pegawai hinggalah kepada ejen, kita sentiasa perlu berhati-hati.
“Badan induk dunia tidak akan mengeluarkan kenyataan tanpa bukti kukuh. Kita tahu FAM akan membuat rayuan sebaik keputusan penuh diumumkan, jadi kita tunggu – tetapi persoalan tetap perlu ditanyakan dan perlu dijawab,” ujarnya.
Karathu, yang dikenali sebagai penyokong kuat pembangunan belia dan akar umbi, berkata insiden ini mencerminkan masalah lebih mendalam dalam bola sepak tempatan – berpunca daripada ketiadaan pembangunan jangka panjang serta pergantungan kepada pemain import.
“Ketika Tunku Abdul Rahman (bekas Perdana Menteri) menjadi Presiden AFC, kita ada Piala Merdeka yang memberi inspirasi kepada pemain muda dan melahirkan generasi bola sepak,” katanya.
“Kini, kita berdepan dengan penurunan jumlah penyokong di stadium dan pergantungan berlebihan kepada pemain import. Sedangkan kita memiliki begitu ramai bakat muda tempatan yang boleh menyerlah jika dibangunkan dengan betul.”
Menurut Karathu, jalan ke hadapan adalah kembali kepada asas – membangunkan pemain tempatan melalui program akar umbi yang kukuh serta pendidikan teknikal.
“Semasa saya bersenam pagi, saya masih melihat anak-anak kecil bermain dengan begitu baik. Jika kita ajar mereka cara melakukan tekanan, bila untuk menyerang dan bertahan dengan betul, kita akan lahirkan bintang kita sendiri – seperti bagaimana Lamine Yamal dari Sepanyol muncul pada usia yang begitu muda,” katanya.
Sumber artikel: The Star
Karathu menegaskan kontroversi semasa ini wajar dijadikan pengajaran serta peringatan kepada kepimpinan bola sepak negara.
“Sudah tiba masanya FAM bermuhasabah dan berfikir mendalam tentang hala tuju permainan ini,” katanya.
“Orang ramai, termasuk saya sendiri, mahukan jawapan. Malaysia mahukan sebuah pasukan kebangsaan yang boleh diyakini – sebuah pasukan yang benar-benar mampu cemerlang.”