HomeSukanKDAFC Hanya Bergantung Kepada Sumbangan Seorang Pemilik Saham

KDAFC Hanya Bergantung Kepada Sumbangan Seorang Pemilik Saham

Pemilik Kedah Darul Aman FC (KDAFC), Tan Sri Mohd Daud Bakar tampil menjelaskan realiti semasa pasukan itu yang kini sedang bergelut dengan masalah tunggakan gaji kritikal.

Beliau berjanji tidak akan menyerah kalah dan lari dari tanggungjawab sebaliknya melakukan apa yang terdaya menyelamatkan bolasepak Negeri Kedah dari berkubur.

“Ramai mengharapkan pihak pengurusan khususnya pihak pemilik KDA FC mencari dana bagi menjelaskan semua perbelanjaan yang melibatkan kesemua 4 pasukan. Kos perbelanjaan sebulan amat besar.

“Terdapat desakan daripada sesetengah pihak yang mencadangkan agar KDA FC dibubarkan disebabkan masalah kewangan yang masih belum dapat diselesaikan. Bahasa mudah, gulung syarikat dan tamatkan kontrak dengan lebih dari 100 pemain dan pegawai.

“Masing-masing mempunyai sebab, alasan, perspektif, persepsi dan naratif tersendiri. Setiap pihak mempunyai pandangan dan pendirian yang tersendiri dan hal ini wajar kita hormati tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak.

“Namun, hanya segelintir yang lantang menegaskan bahawa KDA FC harus meneruskan perjuangan sehingga tamat musim 2024-2025 walaupun keadaan amat mencabar.

“Sebenarnya, saya telahpun diminta dan dinasihatkan supaya membubarkan KDA FC sejak bulan Januari 2024. Namun, saya memilih untuk ‘cuba’ meneruskan perjuangan KDA FC kerana ia adalah legasi semua sebagai rakyat Kedah Darul Aman.

“Mana mungkin saya menyerah kalah sebelum saya berusaha terlebih dahulu dan alhamdulillah saya berjaya menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji musim 2023 pada awal April 2024 dan kelab dibenarkan bertanding bagi musim baharu 2024/2025.

“Saya komited dan akan menggunakan segala kemampuan serta sumber yang ada sebagai pemegang saham majoriti untuk memastikan kelab ini terus bertahan walaupun dalam serba kekurangan.

“Kemungkinan pemegang-pemegang saham lain tidak mampu untuk menyumbang untuk kelab. Saya tiada pilihan melainkan cuba mendapatkan dana sebanyak mungkin tetapi sudah pasti ianya tidak mencukupi,” ujar beliau.

Lepaskan Pemain Demi Masa Depan Mereka

Tan Sri Mohd Daud turut memberitahu buat masa sekarang KDAFC tiada pilihan selain melepaskan beberapa pemain yang mendapat tawaran lebih baik, demi masa hadapan mereka.

“Hubungan kami sentiasa baik dalam dan di luar padang. Mereka tahu segala usaha yang telah dibuat tapi masih tidak mencukupi. Mereka terpaksa membuat keputusan ini. Ini realiti semasa dunia pekerjaan dalam semua bidang pekerjaan.

Baca juga: Mengeluh Tak Dapat Gaji, Tetapi Tiada Yang Buat Aduan

“Dalam semua krisis yang dilalui oleh KDA FC, hero dan tulang belakang pasukan sebenarnya adalah pemain, pegawai serta staf KDA FC. Mereka tetap turun bermain dan bertarung dengan penuh dedikasi walaupun gaji mereka sangkut, stadium yang kosong dan laporan media yang jarang memberi aura positif.

“Sebahagian peminat hanya ingin datang ke stadium beramai-ramai hanya jika persembahan dan pencapaian pasukan baik dan menghasilkan kemenangan. Apa-apa pun, para pemain tetap bermain sebab ini komitmen mereka.

Bergantung Kepada Sumbangan Seorang Pemilik Saham

“Secara jujurnya, KDA FC hanya bergantung kepada sumbangan seorang pemilik saham yang sentiasa bekerja keras mencari sedikit rezeki untuk dikongsi secara bersama hanya bagi tujuan perbelanjaan asas mingguan/bulanan.

“KDAFC juga mendapat sumbangan beberapa individu penaja dan juga penjualan hasil tiket dan merchandise yang tidak seberapa banyak pun. Tiada penaja utama. Tiada bantuan dari mana-mana pihak.

“Kami juga tidak mendapat pembeli/pemiik baru yang sesuai walaupun ramai yang menyatakan hasrat untuk memiliki KDA FC,” jelasnya lagi.

Gesa Anak Kedah Tampil Berbuat Sesuatu

Justeru, beliau menggesa anak-anak Kedah yang berhati murni dan berdarah hijau kuning, agar berbuat sesuatu untuk kelab dan pasukan anda.

“Mengharapkan sesuatu dan membuat sesuatu adalah dua perkara yang berbeza. Bagi pihak yang telah memberi komitmen untuk membantu Kedah FC, tunaikanlah tanggungjawab, janji dan komitmen anda.

“Bagi pihak saya, saya akan terus berusaha mencari jalan dalam mencari dana untuk menjelaskan apa yang tertunggak kepada semua mereka yang berjasa dan yang masih mampu bermain dalam serba kekurangan. Saya tidak akan lari dari tanggungjawab saya.

“Kalau anda ingin membantu, sila hubungi kami. Kami amat mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama, dana, serta sokongan yang mampu membantu KDA FC untuk terus berjuang demi maruah bola sepak negeri Kedah.

“Sebagai kesimpulan, kami ingin menekankan bahawa pihak KDA FC akan meneruskan penyertaan kami dalam musim ini dengan izin Allah. Usaha akan diteruskan.

“Pihak KDA FC juga ingin mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada semua orang dan pihak yang sentiasa membantu KDA FC dalam apa saja bentuk dan keadaan – kewangan, motivasi dan inspirasi, mudah cara dan doa – termasuk juga para penyokong yang tetap setia ke stadium di tempat sendiri atau lawan. Sikap dan watak anda memberi sedikit cahaya di malam yang gelap.”

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!