Selagi isu tunggakan gaji tidak dinoktahkan, selagi itu takkan ada penyelesaian terhadap prestasi buruk Kelantan Darul Naim (KDNFC), dan selagi itu mereka akan terus menjadi pasukan belasahan Liga Super.
Itulah kesimpulan yang boleh dibuat, selepas skuad kijang hijau tewas buat kali keenam berturut-turut, kali ini 0-5 di tangan PDRM FC. Rekod tanpa kemenangan mereka kini meleret kepada lapan perlawanan dalam semua pertandingan.
Dengan hanya tujuh mata, KDNFC terperosok di tangga kedua tercorot liga, dengan rekod memilukan, dua kemenangan dari 16 perlawanan.
Skuad kendalian Rezal Zambery tersingkir awal dari saingan Piala Malaysia; malahan boleh dikatakan sudah tiada harapan dalam saingan Piala Cabaran setelah dibelasah 1-5 oleh Selangor dalam aksi suku akhir pertama.
Punca kepada prestasi buruk dan memalukan ini, tidak lain, masalah tunggakan gaji. Perkara ini dilaporkan oleh media tempatan, yang menyebut bahawa kelab ini tidak membayar gaji sudah hampir empat bulan.
“Dah masuk empat bulan gaji tak dapat. Dari September, Oktober, November dan sudah masuk Disember pun masih tak dapat gaji lagi. KWSP tidak bayar langsung, Perkeso tidak bayar langsung, insurans pemain tiada, tolonglah kami abang,” rintihan seorang pemain pasukan itu sepertimana dilaporkan Arena Metro beberapa hari lepas.
Jelas sekali, isu tersebut kini bukan sahaja menjejaskan, tetapi dilihat membunuh terus semangat para pemain untuk meneruskan perjuangan. Mereka seolah bermain untuk kalah dan ironinya, ini bukan kali pertama KDN FC dikatakan terpalit dengan masalah tunggakan gaji.
November lalu, kelab itu viral apabila dikatakan tidak membayar gaji kakitangan sokongan mereka selama tujuh bulan.
Manakala pada penghujung Oktober, ejen dari Korea Selatan, Myeongho Jeong hilang sabar dengan KDNFC berikutan kegagalan mereka menyelesaikan tunggakan gaji dan memperbaharui visa pemain import di bawah seliaannya yang sudah tamat tempoh hampir enam bulan.
Dalam perkongsian Myeongho, dia menyatakan KDNFC juga cuba mengelak dan memberi janji palsu setiap kali diajukan soalan mengenai gaji dan visa, dan meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) campur tangan untuk menyelesaikan kemelut tersebut.
“Pemilik kelab sentiasa cuba mengelak, tak pernah jawab panggilan telefon, sentiasa menipu kakitangan kelab, adakah ini standard kelab Liga Super Malaysia? Saya, jurulatih dan pemain-pemain saya bawa dari Korea, bukan sahaja ditipu, tetapi dipergunakan kelab.
“Kami semua sangat geram ketika ini. Pasukan sampah seperti ini sentiasa ada dalam Liga Super Malaysia. Banyak yang saya belajar dalam tempoh 3 tahun kenapa bolasepak Malaysia tidak pernah maju.
“Ini adalah kelab penuh penipuan, pembohongan dan mempersenda pemain. Sesungguhnya tiada seorang pun pemain atau kakitangan gembira di dalam kelab ini. Tolonglah FAM, tolong dengar luahan kami. Sekarang ini, nak balik ke Korea pun tak dapat,” ujar Myeongho ketika itu.
Berita Berkaitan: Ejen Dakwa KDNFC Tak Bayar Gaji dan Menipu
Walaupun begitu, badan pengelola liga, Malaysian Football League seolah memejam mata dengan segala pembongkaran dan sehingga kini tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai konflik kelab ini.
Ini juga boleh dikatakan satu punca kenapa kelab tidak kompeten seperti KDNFC terus kebal dan tidak mahu mencari solusi kepada permasalahan yang timbul.