HomeSukanKDNFC Belum Boleh Daftar Pemain Baru, Ada Kes Belum Selesai

KDNFC Belum Boleh Daftar Pemain Baru, Ada Kes Belum Selesai

Malaysia Football League (MFL) memaklumkan bahawa pasukan Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) atau nama baru mereka Kelantan The Real Warriors belum dibenarkan mendaftar pemain baru, berikutan masih lagi dikenakan sekatan perpindahan pemain oleh FIFA.

Perkara itu didedahkan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, yang menyatakan kelab itu masih memiliki satu lagi kes di FIFA berkaitan isu tunggakan gaji pemain import yang perlu diselesaikan segera.

Menurutnya, jika masalah berkenaan tidak diselesaikan, pemain-pemain baru yang telah ditandatangani pasukan itu untuk musim baru Liga Super tidak dapat didaftarkan.

“Jadi bagaimana untuk mereka memulakan musim, mereka hanya boleh menggunakan pendaftaran sedia ada, iaitu pemain yang telah didaftarkan sebelum ini (pemain musim lalu ketika di bawah nama KDN FC).

“Setakat ini, kami juga sedang berhubung rapat dengan Kelantan TRW. Dulu terdapat dua pemain yang menyebabkan sekatan, kini tinggal satu sahaja. Apabila isu pemain terakhir ini selesai, maka Kelantan boleh mula mendaftar pemain baharu,” katanya dipetik daripada laporan Arena Metro.

Untuk rekod, Kelantan TRW sudah menandatangani beberapa pemain tempatan baharu termasuk empat bekas tonggak Sri Pahang FC; Azfar Arif Mohd Sukri, T.Saravanan, Azwan Aripin, dan Syaahir Saiful Nizam selain Danial Haqimi Draman yang beraksi untuk Sabah FC musim lalu.

“Ya, betul (tidak boleh turunkan pemain baharu)…buat masa ini belum boleh. Tapi tiada masalah dari segi bilangan minimum pemain yang didaftarkan. Kelantan masih mempunyai bilangan minimum yang mencukupi (dari pasukan KDN FC musim lalu),” tambah Shazli.

Masalah menimpa kelab ini yang sudah beberapa kali menukar nama dan logo bukan baru, mereka masih berdepan dengan tuntutan tunggakan gaji daripada bekas pemain dan jurulatih musim terdahulu yang mendakwa sehingga kini belum ada persetujuan dicapai.

Dan terbaru, mereka dibidas bekas pemain import Kelantan, Mohamed Ghaddar yang bersuara mewakili pemain import yang dibawanya menyertai pasukan itu awal bulan ini, iaitu Moaiad Alkhouli.

Menurut Ghaddar, kelab itu telah menawarkan kontrak kepada Alkhouli untuk musim 2025/26 (dari 7 Julai ke 31 Mei) dan pemain itu juga telah melepasi ujian perubatan, namun mereka tidak jadi menandatanganinya tanpa sebarang alasan.

Berita Berkaitan: Ghaddar Bidas Annuar Musa Banyak Buat Janji Palsu

Malah dia menyatakan kekecewaan terhadap Presiden kelab Tan Sri Annuar Musa dan CEO pasukan, Dato’ Mohd Irwan Rizal yang menurutnya membuat banyak janji palsu.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!