Bekas kapten Manchester United, Roy Keane mendedahkan dia reject peluang menyertai Real Madrid, ketika sedang ‘membuang hajat’.
Keane berkata dia ditawarkan peluang menyertai kelab gergasi La Liga itu sejurus ditunjukkan jalan keluar oleh United pada November 2005, susulan masalah kecederaan dan hubungan dingin yang berlarutan dengan Sir Alex Ferguson.
“Ejen saya Michael Kennedy bercakap dengan Emilio Butragueno (pengarah sukan Real Madrid). Dia minta saya supaya sentiasa alert kerana Butragueno akan menghubungi saya pada bila-bila masa sahaja. Jadi disebabkan itu saya bawa telefon ke mana sahaja saya pergi.
“Dan, nak dijadikan cerita, panggilan penting itu hadir ketika saya di dalam tandas. Memang tak kena waktu. Emilio kata “Roy, kami gembira untuk membawa masuk awak, kelab telah beri kelulusan” tetapi sayangnya saya menolak tawaran itu,” ujar Keane dalam autobiografinya.
Baca juga: 9 Pemain EPL Berkelas Dunia Yang Reject Real Madrid
Hanya beberapa minggu selepas menolak tawaran 18 bulan untuk berpindah ke Santiago Bernabeu, Keane membuat keputusan menyertai Celtic.
Bagi Keane, dia mahu menjadi pemain yang ada pengaruh besar berbanding hanya menjadi salah seorang pemain biasa di dalam pasukan, jadi melihat Celtic adalah pasukan yang tepat.
“Saya berpemikiran tidak bagus sekadar bermain dengan sesebuah pasukan, kena ada pengaruh yang besar. Real Madrid mungkin perlukan seseorang untuk buat kerja dan duduk di tengah padang dalam beberapa perlawanan, tetapi saya pula mahu pergi dan memberi impak kepada pasukan.
“Saya terlalu berfikiran negatif. Sedangkan cuaca, persekitaran dan latihan mungkin telah memberi saya peluang bermain di pentas tertinggi Eropah untuk dua tahun lagi. Tetapi hakikatnya rasa takut yang mendorong saya, takut tentang perkara yang tak diketahui.
“Saya sepatutnya lebih menghargai tawaran dari Real Madrid. Ia adalah cabaran paling menarik yang datang dan terhidang di depan saya, tetapi saya tidak menerimanya.
“Saya lambat sedar, sejujurnya saya sepatutnya memberitahu diri saya, “Pergi Roy, pergi ke Sepanyol, tinggal di sana untuk setahun setengah, belajar bahasa baru, belajar budaya baru. Mungkin saya akan jatuh cinta dengan tempat itu, dan tidak mahu balik.”
Hanya enam bulan selepas bersama Celtic, Keane mengumumkan persaraan atas nasihat perubatan. Dalam tempoh singkat itu, dia membantu Celtic menjulang Liga Perdana Scotland dan Piala Liga Scotland.