HomeKebangkitan Jepun, Hasil "Percaya Kepada Proses" Selama Berdekad

Kebangkitan Jepun, Hasil “Percaya Kepada Proses” Selama Berdekad

Kemenangan 3-2 Jepun ke atas Brazil di Tokyo pada Selasa bukan sekadar satu kisah kebangkitan sensasi. Ia adalah satu amaran.

Ia adalah detik di mana dunia tidak lagi boleh melihat bolasepak Jepun sekadar sebuah kisah pasukan kerdil yang berani.

Ini adalah pertembungan cita-cita melawan tradisi, dan cita-cita yang menang. Buat kali pertama dalam 14 percubaan, Samurai Biru menewaskan juara dunia lima kali itu.

Mereka melakukannya dengan bangkit daripada ketinggalan dua gol. Mereka melakukannya dengan keyakinan, struktur dan kualiti. Yang paling penting, mereka berjaya kerana ini adalah hasil “percaya kepada proses” selama berdekad-dekad.

Kebangkitan Jepun bukan terjadi secara kebetulan. Ia dibina bata demi bata, tahun demi tahun, melalui perancangan, kesabaran dan keengganan untuk menerima tahap sederhana.

Jurulatih Hajime Moriyasu, selepas kemenangan itu, menegaskan bahawa kejayaan ini adalah hasil peningkatan generasi demi generasi – dan dia benar.

Pasukan dari era 1990-an dan awal 2000-an meletakkan asasnya. Penubuhan J-League pada tahun 1992 mencetuskan revolusi — kelab profesional, akademi yang tersusun, jurulatih bertauliah, pelaburan serius dalam pembangunan belia.

Jepun membuat keputusan lama dahulu: jika mereka tidak boleh membeli kejayaan, mereka akan membinanya.

Hasilnya ialah budaya bola sepak yang melahirkan pemain dengan teknik, kecerdasan dan disiplin taktikal.

Ia adalah sistem yang memberi keutamaan kepada pemain tempatan, membangunkan mereka dan mempercayai mereka. Tidak seperti banyak negara Asia lain yang bergantung kepada pemain naturalisasi, Jepun percaya anak tempatan cukup bagus — dan kini mereka membuktikannya di pentas terbesar.

Ketika negara lain mencari jalan pintas, Jepun membina kedalaman skuad. Itulah sebabnya mereka boleh melakukan penggiliran pemain dalam kejohanan Asia tetapi masih mendominasi.

Lihatlah kebangkitan mereka menentang Brazil. Jepun ketinggalan 0-2. Kebanyakan pasukan Asia akan akur menerima kekalahan.

Sebaliknya, Takumi Minamino menyuntik semangat dengan gol awal babak kedua. Keito Nakamura menyusul sebelum Ayase Ueda melengkapkan kebangkitan dengan tandukan menakjubkan. Tiga gol dalam 20 minit. Ini bukan tuah. Ini keyakinan. Dan yang paling menakutkan? Jepun menjangkakan kemenangan itu.

Mereka tidak bermain kerana suasana, mereka bermain menentang lawan. Mereka menekan, mereka teguh secara berpasukan, mereka menyaingi Brazil dari segi teknikal dan mengatasi mereka dari segi fizikal.

Ada ketika, Jepun kelihatan lebih baik. Bilakah kali terakhir pasukan Asia boleh berkata begitu ketika menentang Brazil? Jepun bukan sekadar meningkat untuk diri mereka sendiri, mereka juga menarik Asia ke hadapan.

Profesionalisme mereka telah menjadi penanda aras untuk benua ini. Standard kejurulatihan, akademi belia dan evolusi taktikal mereka memaksa negara-negara Asia lain untuk meningkatkan permainan.

Kesan gelombang itu sudah dapat dilihat di Korea Selatan, Arab Saudi, malah negara membangun seperti Uzbekistan. Standard bola sepak Asia sedang meningkat.

Tetapi perlu jelas: Jepun masih memimpin, dan jurang itu mungkin akan menjadi mustahil untuk dikejar. Keyakinan ini disokong oleh keputusan. Jepun kini antara pasukan antarabangsa paling konsisten di dunia.

Mereka mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia sebanyak empat kali, meskipun Korea Selatan kekal sebagai pasukan Asia terbaik dengan mara ke separuh akhir pada 2002.

Dalam edisi 2022, Jepun mengejutkan Jerman dan Sepanyol dalam peringkat kumpulan, muncul juara kumpulan yang digelar “Kumpulan Maut”. Sekali lagi, mereka mara ke pusingan 16, hanya tewas melalui sepakan penalti kepada Croatia.

Tidak ada rasa malu di situ — Croatia selepas itu menyingkirkan Brazil dan mara ke separuh akhir. Ini bukan generasi emas. Ini adalah jalur penghasilan berterusan. Rekod belia membuktikannya.

Jepun muncul naib juara Piala Dunia B-20 1999. Mereka beberapa kali mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia B-17 dan B-20. Mereka juga kerap layak ke Sukan Olimpik, termasuk tempat keempat di London 2012 dan Tokyo 2020.

Pemain mereka bukan sekadar berhijrah ke Eropah, mereka berjaya di sana. Daichi Kamada di Crystal Palace. Wataru Endo di Liverpool. Kaoru Mitoma menceriakan Liga Perdana Inggeris. Ritsu Doan di Jerman. Takefusa Kubo bersinar di Sepanyol. Mereka bukan pemain simpanan, tetapi pemain utama di kelab elit.

Laluan Jepun ke Eropah bukan kebetulan. J-League telah diselaraskan dengan piawaian Eropah — dari segi taktikal dan fizikal. Pemain muda digalakkan berpindah awal ke luar negara. Mereka bersedia, bukan gugup. Pendedahan pada tahap tertinggi itu mengubah mentaliti Jepun. Mereka tidak lagi melihat gergasi, mereka melihat setaraf.

Dan mereka memiliki jurulatih yang berkongsi visi sama. Moriyasu tidak puas dengan kemenangan bersejarah atau tersingkir bermaruah. Dia secara terbuka menyatakan bahawa sasaran Jepun di Piala Dunia akan datang di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico bukan sekadar penyertaan — tetapi untuk menjuarainya.

Tidak ramai jurulatih Asia berani bersikap begitu. Tetapi dia percaya mereka hanya boleh mencapainya dengan terus meningkat setapak demi setapak. Rendah diri. Terus membina. Jangan sekali-kali rasa sudah cukup.

Falsafah yang dibina atas rasa hormat, tetapi bukan ketakutan. Ketakutan itu sepatutnya dirasai Asia.

Ya, benua ini sedang meningkat, tetapi Jepun berevolusi lebih pantas berbanding sesiapa. Ketika yang lain kelam-kabut dengan politik, penyelesaian jangka pendek dan bergantung kepada pemain luar, Jepun beroperasi seperti kuasa bola sepak Eropah.

Mereka akan mendominasi bola sepak Asia selama bertahun-tahun. Persoalannya bukan sama ada Jepun akan menjuarai Piala Asia lagi, tetapi bila mereka akan menjuarai Piala Dunia.

Mereka sudah menewaskan Jerman, Sepanyol dan Brazil dalam tempoh tiga tahun. Mereka memiliki infrastruktur, laluan pembangunan, mentaliti dan keyakinan.

Mereka tersusun dari akar umbi hingga ke pasukan kebangsaan. Mereka melahirkan pemain dengan teknik tinggi, kecergasan elit dan kematangan taktikal.

Mereka mempunyai liga domestik yang menyokong pasukan kebangsaan, bukannya menghalangnya. Mereka memiliki penyokong yang menuntut kecemerlangan. Mereka ada perancangan.

Jadi, ketika mereka bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk mengejutkan Brazil, ia bukan keajaiban. Ia adalah mesej. Dunia yang lain wajar mendengar.

Kerana Jepun tidak lagi mengejar sejarah. Mereka sedang bersedia untuk menciptanya.

Diolah dari: Asia should look Japan football playbook

RELATED ARTICLES

Most Popular

error:Content is protected !!