HomeKecederaan Zara Qairina sepadan akibat jatuh, bukan dipukul - Pakar patologi

Kecederaan Zara Qairina sepadan akibat jatuh, bukan dipukul – Pakar patologi

Pakar patologi forensik yang menjalankan bedah siasat ke atas Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner hari ini (Khamis) bahawa remaja berusia 13 tahun itu dipercayai sama ada melompat atau bergayut sebelum ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu.

Dr Jessie Hiu, 58, yang berkhidmat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth sejak 1998, berkata kesimpulan itu dibuat berdasarkan kedudukan serta lokasi penemuan mangsa.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan pegawai pengendali kes, Timbalan Ketua Pendakwaan II Datuk Badius Zaman Ahmad, pada hari kedua prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu itu.

Pegawai Pengendali: Berdasarkan keterangan bertulis di perenggan 32, bolehkah Dr terangkan mengenai tidak mungkin jatuh secara tidak sengaja atau ditolak?

Dr Jessie: Berdasarkan pengukuran yang dijalankan di lokasi, ia tidak mungkin sebab palang besi di tembok koridor asrama begitu tinggi… dia tidak mungkin jatuh sebab palang itu tinggi. Jika ditolak, palang besi akan menghalang daripada jatuh.

Pegawai Pengendali: Apa kemungkinan terbaik?

Dr Jessie: Seperti yang saya terangkan dan demonstrasi dibuat di lokasi, dia (arwah) mungkin berdiri di atas tembok konkrit dan sama ada melompat atau menghayunkan diri dengan bergayut dari jeriji tergantung.

Pegawai Pengendali: Boleh saya katakan tiada serangan dan punca kematian adalah jatuh dari tempat tinggi?

Dr Jessie: Berdasarkan pemeriksaan lokasi, ya.

Pegawai Pengendali: Boleh sahkan si mati melompat atau menghayunkan diri?

Dr Jessie: Berdasarkan maklumat mengenai posisi dan lokasi si mati pada 16 Julai lalu, dia sama ada melompat atau menghayunkan diri.

Pada prosiding hari ini, Dr Jessie turut menjelaskan beberapa gambar yang diambil ketika pemeriksaan lokasi dan demonstrasi yang dibuat bersama pegawai perubatan dari HQE bagi mendapatkan gambaran bagaimana arwah Zara Qairina jatuh.

Demonstrasi itu juga bagi mendapatkan gambaran sama ada arwah boleh jatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari belakang pada hari hari kejadian.

Beliau berkata, pemeriksaan juga bagi mengenal pasti bagaimana arwah jatuh, berdasarkan kecederaan dan keadaan tubuh Zara Qairina ketika ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan pada awal pagi 16 Julai lalu.

Terdahulu, beliau berkata, pemeriksaan di lokasi dilakukan pada 2 Ogos lalu dengan dibantu pegawai perubatan dari HQE bersama tiga anggota polis dan beberapa kakitangan sekolah.

Pada prosiding di Mahkamah Koroner, hari ini, Dr Jessie turut menunjukkan bagaimana arwah Zara Qairina mungkin jatuh dengan kaki terlebih dahulu mencecah tanah sebelum badannya rebah dalam keadaan terbaring dan wajah menghadap ke atas.

Dalam keterangannya semalam, Dr Hiu menjelaskan bahawa berdasarkan ketinggian dan kelebaran penghadang konkrit, ketinggian palang besi melintang, serta ketinggian mangsa sebelum kematian, adalah berkemungkinan untuk mangsa memanjat penghadang, melintasi palang besi berkenaan, dan berdiri di atasnya. – Bernama 

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!