Kegagalan skuad B-23 negara menempah tiket beraksi di saingan Piala Asia B-23 2026, membuktikan dengan betapa terbantutnya sistem pembangunan bolasepak tanah air.
Harimau Muda diperkuatkan rata-rata pemain yang datangnya daripada pembangunan bolasepak belia tempatan, dan National Football Development Program (NFDP) tersingkir di pusingan kelayakan setelah tewas 1-2 kepada Thailand.
Sebelum itu, skuad kendalian Nafuzi Zain tewas 0-1 kepada Lubnan dan melakar kemenangan 7-0 ke atas pasukan paling lemah dalam kumpulan, Mongolia.
Ini adalah kecewa yang datang bertimpa-timpa setelah turut tersingkir awal di saingan Piala Mandiri ASEAN pada Julai lalu. Manakala pada tahun lalu skuad B-20 juga tersingkir dari kelayakan Piala Asia B-20 dan Piala Asia B-17.
Bagi pengkritik bolasepak tanah air, Dr Zulakbal Abdul Karim, ini memberikan gambaran cukup buruk dan teruk mengenai pembangunan bolasepak belia di negara kita.
Beliau menambah, jawatankuasa teknikal FAM perlu mengambil tindakan segera, manakala cadangan badan induk itu untuk mengambil alih NFDP boleh menyelaras semula hala tuju pembangunan bolasepak di sini.
“Adalah menyedihkan melihat pasukan B-23 kita gagal mara ke pusingan akhir Piala Asia, ini merupakan kegagalan ketiga pasukan belia negara selepas kekecewaan pasukan B-17 dan B-20. Ini bukti jelas bahawa program pembangunan belia sedia ada telah gagal,” kata pemegang Diploma Kejurulatihan Profesional AFC itu kepada NST Sports.
“FAM tidak boleh terus kekal dengan program gagal ini. Sistem sedia ada dengan Piala Belia B-18, Piala Presiden B-12, dan Liga Bolasepak Belia anjuran Kementerian Pendidikan adalah tidak mencukupi untuk menyokong pembangunan pemain muda kita. Inilah yang berlaku bila pertandingan dianjurkan sekadar cukup syarat.
“Jawatankuasa teknikal FAM perlu mendapatkan pakar sains sukan dan pakar pembangunan belia untuk duduk bersama melakar pelan baharu. Kita perlu terima bahawa pertandingan peringkat umur yang ada sekarang memang gagal melahirkan hasil, dan ia memerlukan rombakan menyeluruh.
“Kalau kita lihat Persatuan Bolasepak Jepun, mereka melancarkan Dream 2050 pada 2005 untuk menjuarai Piala Dunia menjelang tahun 2050. FAM juga melancarkan peta hala tuju F30, tetapi nampaknya ia perlu diteliti semula kerana telah gagal mencapai sasaran peringkat umur.
“Semasa Khairy Jamaluddin menjadi menteri sukan, pemain NFDP mendapat banyak pendedahan di luar negara dengan latihan dan kem permainan, dan ini sesuatu yang perlu diteruskan.
“Pertandingan tempatan sahaja tidak mencukupi, cara untuk mematangkan pemain muda ini mesti dirancang dengan baik. Kita tidak boleh lagi buat proses cuba jaya selepas berulang kali gagal.”
Dengan deretan kegagalan yang disajikan, Sukan SEA di Thailand, Disember ini dilihat bakal menjadi ‘talian hayat” terakhir pada tahun ini untuk skuad B-23 tahun negara menebus kembali maruah.