Kem Argentina ternyata bengang terpaksa beraksi dalam padang ditakungi air ketika mereka terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Venezuela awal pagi tadi.
Menurut kapten pasukan, Lionel Messi, “Perlawanan ini sepatutnya ditangguhkan, dari awal sudah ada keraguan berikutan Hurricane Milton tapi Conmebol buat keputusan untuk meneruskan.
“Akhirnya ia menjadi perlawanan yang sangat sukar, sangat teruk. Kami tidak bermain bolasepak, nak buat dua hantaran pun susah, keadaan padang tidak membantu. Setiap kali buat hantaran bola sangkut di air, ia merosakkan kualiti permainan dan kami tidak boleh main seperti yang kami mahu. Kami juga tidak boleh mengambil risiko di atas padang seperti ini dan cuba bermain setakat apa yang boleh.”
Manakala ketua jurulatih, Lionel Scaloni pula berkata, “Keadaan padang tidak menepati keperluan minima untuk satu perlawanan kelayakan Piala Dunia. Kita bukan datang untuk bermain perlawanan persahabatan dan balik. Tapi perlawanan yang besar di padang seperti ini, amat memalukan.
“Padang begini untuk dua pasukan di level seperti Argentina dan Venezuela, ia tidak boleh diterima. Ini bukan bolasepak.”