HomeSukanKenapa Pemain Warisan Tidak Tampil Jelaskan Situasi Sebenar?

Kenapa Pemain Warisan Tidak Tampil Jelaskan Situasi Sebenar?

Sikap membisu tujuh pemain warisan negara yang digantung FIFA atas dakwaan pemalsuan dokumen, mencetus pelbagai spekulasi dan perdebatan hangat.

Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Facundo Garces dan Gabriel Palmero — telah digantung selama setahun oleh FIFA kerana melanggar peraturan kelayakan pemain. Mereka bersama-sama FAM turut dikenakan denda keseluruhan hampir RM2 juta.

Sejak hukuman itu diumumkan, tiada seorang pun daripada tujuh pemain tersebut mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan kedudukan mereka.

Malah, setiap pergerakan kecil di media sosial mereka turut diperhatikan dengan teliti oleh peminat yang mencari jawapan. Malah, tanpa mahu bersuara, pemain-pemain ini lebih berminat memuatnaik gambar dan membiarkan penyokong membuat andaian sendiri.

Sebagai contoh Machuca post gambar neneknya bersama karipap, manakala Figueireido post gambar bersama keluarga – kedua-duanya tanpa caption, apa yang cuba disampaikan?

Persoalan timbul, adakah mereka dinasihatkan secara undang-undang untuk berdiam diri, diarahkan sesiapa untuk berbuat demikian (post gambar tanpa caption) atau sekadar enggan berdepan dengan akibat jika tersalah cakap?

Pengkritik bola sepak, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata masih belum jelas sama ada para pemain benar-benar memahami risiko ketika mereka bersetuju untuk mewakili Malaysia, atau mereka sekadar teruja dengan peluang menyarung jersi kebangsaan.

“Adakah mereka sedar tentang implikasinya, atau mereka fikir perkara ini tidak akan sampai ke tahap ini? Atau mungkin mereka dijanjikan sesuatu sehingga sanggup mengetepikan risiko,” kata Pekan.

Tambahnya: “Tetapi jika FIFA benar-benar mempunyai bukti bahawa datuk nenek mereka bukan warganegara Malaysia, maka pemain-pemain ini sendiri harus bertanggungjawab. Jika mereka tahu dan tetap berdiam diri, inilah akibat yang perlu ditanggung.”

Beliau menambah bahawa hukuman ini seharusnya menjadi pengajaran keras kepada mana-mana pihak yang tergoda untuk mengambil jalan pintas dalam bola sepak antarabangsa.

“Ia bukan sekadar hukuman, tetapi juga mesej (peringatan) kepada yang lain. Biar ini menjadi peringatan bahawa jalan pintas dalam bola sepak datang dengan harga yang mahal,” ujarnya.

Selain daripada penggantungan setahun dan denda yang besar, para pemain kini berdepan dengan kerosakan reputasi yang serius — sesuatu yang boleh membayangi kerjaya mereka untuk tempoh lama.

“Kedudukan mereka dalam komuniti bolasepak antarabangsa telah terjejas teruk, dan kontroversi ini berkemungkinan akan mempengaruhi rundingan bersama kelab pada masa hadapan,” kata Pekan.

Namun beliau percaya bahawa walaupun masa depan mereka kini kelihatan suram, bakat yang dimiliki mungkin masih mampu membuka jalan kembali — sekiranya mereka menangani situasi ini dengan kejujuran dan ketelusan.

“Ya, imej mereka tercalar, tetapi bakat tetap bakat. Jika mereka dapat membuktikan keikhlasan dan membina semula kepercayaan, kelab-kelab di Malaysia mungkin masih bersedia memberi peluang kedua,” kata Pekan lagi.

Penggantungan ini bukan sahaja menjejaskan peluang mereka di pentas antarabangsa, tetapi turut memberi kesan besar kepada kelab-kelab mereka di luar negara yang kini kehilangan pemain utama sepanjang musim.

Sumber: Malaysia’s Banned 7 Now Mastering The Art of Silence

Memandangkan kelab-kelab tersebut telah melabur besar dari segi gaji dan kontrak, mereka mungkin berasa kecewa kerana kehilangan khidmat pemain akibat perkara yang bukan berpunca daripada kesilapan mereka.

Walaupun tiada tuntutan rasmi difailkan setakat ini, semakin banyak cakap-cakap di kalangan komuniti bolasepak tentang kemungkinan kelab-kelab berkenaan menuntut pampasan atau memegang FAM sebagai pihak bertanggungjawab atas kehilangan pemain — langkah yang pastinya akan menambah tekanan kewangan kepada badan induk itu.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error:Content is protected !!