Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ), menerusi kenyataan ‘pedas’ terbaru baginda, tidak setuju ramai melabel dominasi total Johor Darul Takzim sebagai sebab di sebalik Liga Malaysia suram, sendu, hambar dan tiada sambutan.
Baginda juga tidak bersetuju Malaysian Football League (MFL) dipersalahkan sehingga ada segelintir yang menyeru supaya liga diboikot.
Menurut TMJ, ia berpunca daripada kegagalan menguruskan kelab dengan baik serta alasan demi alasan yang dicipta demi menutup kelemahan sendiri.
“Jiran rumah cantik, rumah sendiri tak terurus tetapi ada hati nak bakar seluruh kawasan perumahan. Level bodoh tahap apa ni? Ibarat rumah tak cantik tak terurus ajak orang lain beramai-ramai duduk hutan. Daripada politik sampai ke sukan, kepala out. No Wonder tak ke mana,” ujar TMJ.
Tambah baginda lagi, “JDT menang, stadium dan padang kurang cantik, pemain pasukan tak dapat gaji, players tiada gaji dan tak bersemangat, musim hujan, orang jaga kelab tak peduli dan lain-lain.
“Sendiri tak bayar gaji salahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL). Kenalkan financial fair play dengan segera, badan pengadil mesti bebas dan bukan di bawah FAM.
“Tak puas hati juga, bayarlah pengadil luar negara. 11 tahun macam-macam alasan dan konspirasi. Ibarat pasukan Bundesliga semua ajak ramai-ramai boikot liga kerana tak boleh cabar Bayern. ‘Mindset is everything’.”
Sebagai rekod, data menunjukkan kadar kehadiran penyokong ke stadium sepanjang bulan Januari menunjukkan penurunan yang cukup drastik, di mana kehadiran total bagi lima perlawanan di minggu ketiga Liga Super tidak melebihi 6,000 penyokong.