“Ini perlawanan bolasepak, berlarilahhh, berlari, bukan berjalan,” demikian reaksi tegas jurulatih Selangor, Katsuhito Kinoshi, selepas pasukannya sekadar mampu terikat tanpa jaringan menentang skuad pilihan Asia Warriors pada Ahad.
Aksi persahabatan di Stadium MBPJ, tidak banyak aksi menarik disaksikan dengan kedua-dua pasukan buntu menjaringkan gol sehingga wisel penamat. Namun ia Selangor yang seharusnya menyalahkan diri sendiri setelah beraksi agak longlai di sebalik menurunkan skuad lebih muda berbanding Asia Warriors dipimpin Keisuke Honda yang dibarisi pemain veteran.
Maka tidak hairanlah ia menimbulkan rasa marah jurulatih Selangor, Katsuhito Kinoshi. “Keputusan ini tidak memuaskan. Saya tidak gembira. Langsung tidak gembira,” ujar Kinoshi yang kecewa dengan kurangnya tempo dan intensiti permainan barisan pemainnya.
“Kita mesti tingkatkan serangan dan tunjukkan kesungguhan. Jangan berjalan, berlari lebih, cuba tembusi pertahanan lawan,” tambahnya.
Bagi Kinoshi, perlawanan ini bukan sekadar tentang keputusan, tetapi lebih kepada membentuk pasukan yang mantap menjelang musim baharu Liga Malaysia yang akan membuka tirai kurang dua minggu lagi.
Dalam aksi tersebut, Kinoshi menurunkan hampir kesemua pemain Selangor yang tersedia – daripada pemain baharu seperti Zach Clough sehinggalah pemain regular seperti Alvin Fortes.
Walaupun Red Giants menguasai perlawanan dan mencipta beberapa peluang jaringan, mereka seperti tiada idea apabila masuk ke kawasan defensif Asia Warriors dan tidak begitu tajam menyudahkan peluang.
Baca Juga: Kinoshi Dedah Rahsia Kejayaan Selangor
Jika Kinoshi kecewa, rakan senegaranya Honda yang juga legenda Jepun yang pernah beraksi untuk AC Milan berkata: “Ia satu perlawanan sukar buat kami, tetapi Selangor mempunyai pemain muda yang lebih berkualiti.
“Namun begitu, kami bertahan dengan baik, tidak memberi ruang atau masa kepada mereka, dan mengekalkan kedudukan 0-0. Itulah perancangan kami.”