HomeSukan"Kita Kuasai Perlawanan, Sepatutnya Menang" - Nafuzi

“Kita Kuasai Perlawanan, Sepatutnya Menang” – Nafuzi

Skuad negara memulakan kempen Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dengan langkah kiri apabila kecuaian di hujung perlawanan membawa kepada kekalahan 0-1 di tangan Lubnan di Stadium Thammasat, Thailand, pada Rabu.

Ketua jurulatih, Nafuzi Zain mengakui kekalahan itu sukar diterima memandangkan anak buahnya berjaya menguasai permainan serta mencipta beberapa peluang, namun gagal menterjemahkannya kepada jaringan.

“Pemain nyata kecewa dengan kekalahan semalam. Saya rasa kita tidak patut tewas kerana sebenarnya kita boleh menang perlawanan itu. Dari awal kita kawal permainan dengan baik, cuma peluang yang ada tidak dimanfaatkan.

“Kita sepatutnya menang, tetapi itulah bolasepak,” kata Nafuzi menerusi rakaman video dikongsi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pada Khamis.

Perlawanan berlangsung sengit sejak wisel permulaan namun kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan pada babak pertama. Ketika perlawanan seakan berakhir seri, pemain tengah Lubnan, Ali El Fadl, meledak gol kemenangan pada minit ke-84.

Nafuzi menuntut barisan mudanya segera bangkit dalam dua aksi penting menentang Mongolia, Sabtu ini dan tuan rumah Thailand, Rabu depan bagi menghidupkan peluang mara ke pusingan akhir.

Dalam pada itu, kapten pasukan, Ubaidullah Samsul pula menyatakan skuad Harimau Muda masih lagi belum kebah daripada penyakit lama, iaitu tumpul di depan gol.

“Kecewa sebab permainan kami agak baik di babak pertama tetapi macam biasa siapa yang menjaringkan gol, merekalah yang akan menang. Masalah kita masih sama sejak Piala Mandiri ASEAN B-23 lalu, (iaitu) tak jaringkan gol dan tak tahu nak buat macam mana,” katanya.

Untuk rekod, hanya 11 juara kumpulan dan empat naib juara terbaik serta tuan rumah Arab Saudi akan mengesahkan slot ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2026, Januari depan.

Malaysia sebelum ini pernah layak dalam tiga edisi Piala Asia B-23 iaitu edisi 2022 (Uzbekistan) dan 2024 (Qatar) dengan pencapaian terbaik mara ke suku akhir pada edisi 2018 di China.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!