HomeSukanKRW Kena Jawab Surat Tunjuk Sebab FIFA

KRW Kena Jawab Surat Tunjuk Sebab FIFA

Badan induk bolasepak dunia, FIFA dilaporkan sudah menghantar surat rasmi kepada Kelantan Red Warrior FC (KRW), meminta penjelasan mengenai kaitan kelab itu dengan Kelantan FC milik Norizam Tukiman.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia, Dato’ Noor Azman Rahman.

“Memang kita ada dapat surat daripada FIFA mengenai Kelantan KRW dan kita sudah berikan kepada mereka untuk tindakan selanjutnya.

“Butiran lanjut tidak boleh saya jelaskan tetapi isunya bukan mengenai tuntutan pemain sebaliknya ada kaitan dengan kelab terdahulu (Kelantan FC).

“Sekarang FIFA sudah kesan sesuatu dan mungkin ada sangkut paut dengan pasukan lama,” kata Noor Azman kepada pemberita.

Difahamkan Kelantan KRW diberi tempoh sehingga Isnin (28 Julai) untuk memberikan maklum balas penuh kepada FIFA berhubung isu yang sedang disiasat.

Sebagai rekod, Kelantan KRW ditubuhkan pada Disember tahun lalu oleh Nik Hafiz Naim Nik Hassan yang juga bekas individu dalam pengurusan Kelantan FC sebelum ini.

Penubuhan pasukan baharu itu dilihat berjaya memberi nafas baharu apabila diterima menyertai saingan Liga A1 Semi Pro musim ini. Malah mereka sedang rancak mempersiapkan pasukan, dengan Irfan Bakti dilantik sebagai ketua jurulatih selain merekrut beberapa pemain berprofil tinggi termasuk Norshahrul Idlan Talaha.

Namun, status Nik Hafiz yang pernah terbabit secara langsung dengan The Red Warriors menguatkan dakwaan bahawa KRW sebenarnya adalah kesinambungan tidak rasmi daripada Kelantan FC yang kini sudah tenggelam daripada radar bola sepak tempatan.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!