Johor Darul Takzim (JDT) mengetepikan tentangan sengit Sri Pahang FC untuk mengukuhkan cengkaman di tangga teratas Liga Super.
Skuad Hector Bidoglio melakar kemenangan 3-1 dengan kesemua jaringan terhasil di separuh masa kedua.
Kemenangan ke-15 dari 16 perlawanan menyaksikan skuad Hector Bidoglio mengumpul 46 mata, kekal dengan kelebihan 11 mata mengatasi pencabar terdekat, Selangor yang turut mencatat kemenangan.
Turun sebagai pasukan away di Stadium Sultan Ibrahim, JDT menguasai babak awal permainan namun mendapati ianya sukar untuk merobek gawang Sri Pahang.
Skuad Fandi Ahmad pula tidak sekadar bermain bertahan, sebaliknya turut mengimbangi permainan dan beberapa kali mencemaskan pintu gol kawalan Syihan Hazmi. Kedua-dua pasukan menamatkan aksi separuh masa dengan tanpa jaringan.
Minit ke-48, JDT memecah kebuntuan menerusi jaringan sendiri Adam Nor Azlin. Hanya tiga minit kemudian giliran Bergson da Silva pula menggandakan kelebihan buat skuad harimau selatan.
Namun seminit selepas itu, David Rowley mengurangkan defisit jaringan menerusi tandukan yang menewaskan Syihan. Skuad Tok Gajah hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-56 namun tandukan Stefano Brundo dikeluarkan di atas garisan gol oleh Feroz Baharudin.
Meskipun JDT kembali mendominasi permainan selepas itu, mereka terpaksa mengharapkan penalti masa kecederaan untuk menambah jaringan menerusi Bergson.
Bagi Sri Pahang, ia adalah kekalahan kelima mereka musim ini, dan kekal di tangga kesembilan dengan 15 mata.
Sementara itu, Selangor pula terus menyalakan peluang tipis mereka untuk mengejar kedudukan pendahulu setelah membenam Perak 2-1 di Manjung.
Penyerang import Alvin Fortes menjaringkan kedua-dua gol buat skuad gergasi merah kuning manakala Perak membalas menerusi Wan Zack Haikal. Ia adalah kemenangan keempat berturut-turut Selangor dalam semua pertandingan.
Foto: Johor Southern Tigers