HomeSukanLiga Super: "Selangor Ada Peluang Kejutkan JDT"

Liga Super: “Selangor Ada Peluang Kejutkan JDT”

Walaupun turun sebagai underdog dalam aksi Piala Sumbangsih yang juga perlawanan pembuka tirai Liga Super musim baru pada Jumaat ini, Selangor tetap ada peluang untuk melakar kejutan ke atas Johor Darul Takzim (JDT).

Demikian pendapat bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar. Menurutnya di atas kertas sememangnya JDT sebuah skuad lengkap dan mempunyai banyak kelebihan untuk memenangi perlawanan.

Namun beliau menganggap JDT tidak boleh sesekali memandang enteng kekuatan Red Giants yang tidak diketahui sepenuhnya dan tidak mustahil pasukan kendalian Katsuhito Kinoshi itu keluar sebagai pemenang meskipun tidak diletakkan sebarang harapan.

“Memang perlawanan ini dilihat lebih memihak kepada JDT. Mereka menggunakan semaksimum mungkin kuota pemain import yang dibenarkan Malaysian Football League (MFL) manakala Selangor pula agak merahsiakan persiapan mereka.

“Kita pun tak pasti bagaimana keupayaan sebenar pemain import mereka. Tetapi bagi saya, peluang untuk Selangor tetap ada dan dalam bola sepak pasukan yang paling bawah pun kadang-kadang kita lihat boleh mengalahkan pasukan paling atas.

“Apa yang perlu Selangor lakukan adalah bermain secara berpasukan, tenaga serangan harus berada pada tahap maksimum dan mereka tidak boleh berhenti menyerang. Bahagian pertahanan pula harus lebih bijak dan berwaspada, tidak boleh leka.

“Mereka perlu persiapkan diri, tidak boleh terlalu mudah hilang bola kerana jentera serangan JDT sentiasa cekap dalam mencari peluang dan mengatur gerakan untuk menghasilkan jaringan. Selangor harus waspada dengan kelibat Arif Aiman,” katanya dipetik dari laporan BH Sukan.

Azlan yang pernah bermain bersama Selangor, turut mengharapkan mutu pengadilan berkualiti tinggi dapat dipamerkan pengadil dalam perlawanan itu bagi mengelak sebarang kritikan daripada semua pihak termasuk pasukan dan peminat.

“Kita perlukan mutu pengadilan yang benar-benar terbaik dalam setiap perlawanan. Kita tak nak nanti orang kata rumah sudah siap, pahat masih berbunyi atau keputusan sudah ada tapi orang masih bercakap mengenai pengadil.

“Kita tidak mahu lagi ada isu yang boleh mencacatkan perjalanan liga kita musim ini. Peminat sekarang sudah pandai, apatah lagi pegawai setiap pasukan. Jadi mereka boleh menilai mengenai keputusan yang pengadil buat,” katanya.

Berita Berkaitan: Tewaskan JDT Akan Menjadi Titik Tolak Buat Selangor

Untuk rekod, Selangor tidak pernah menewaskan JDT dalam 19 pertemuan terakhir dengan kali terakhir mereka berbuat demikian adalah pada aksi Liga Super 2017. Ketika itu mereka bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 menerusi jaringan Amri Yahyah dan Andik Vermanshah.

Manakala Harimau Selatan pula tidak pernah tewas kepada mana-mana pasukan Liga Malaysia sejak kekalahan di pentas final Piala Malaysia 2021 kepada KL City.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!