Pertembungan Liga Super antara Sri Pahang dan Johor Darul Takzim pada 17 Disember ini yang sepatutnya berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, hampir pasti dipinda ke Stadium Sultan Ibrahim.
Belum ada pengumuman rasmi dibuat oleh kedua-dua pasukan mahupun Malaysian Football League (MFL) tentang pindaan venue, tetapi menurut sumber OtaiStation, perkara tersebut telahpun dipersetujui dan disahkan.
“Sudah tentu ini adalah langkah terbaik boleh diambil mengambil kira keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang. Semua tahu Temerloh adalah kawasan hotspot jadi pengurusan mungkin tidak mahu mengambil risiko.
“Tempoh hari perlawanan menentang Kuching terpaksa ditangguhkan kerana hujan lebat, dan dalam keadaan sekarang banyak faktor perlu dipertimbangkan. Mereka mengambil langkah bersedia lebih awal dan sudah tentunya SSI adalah pilihan ideal.
“Penyokong diharap dapat memahami dan terus menunjukkan sokongan. Apapun tunggu pemakluman rasmi dibuat,” ujar sumber tersebut kepada OtaiStation.
Sebagai rekod, Sri Pahang bukanlah pasukan pertama untuk memilih Stadium Sultan Ibrahim sebagai alternatif apabila menjadi tuan rumah kepada JDT.
Empat pasukan lain yang turut menjadikan SSI sebagai venue tuan rumah ketika menentang Harimau Selatan pada tahun ini adalah Malaysian University (Piala FA), KDN FC dan Perak (Liga Super) serta KL Rovers (Piala Malaysia).
Baca juga: Penyokong Perak FC Rasa Dipermainkan, Hak Dirompak
Baca juga: KL Rovers Berterima Kasih Kepada TMJ, JDT
Sri Pahang akan terlebih dahulu turun menentang Perak FC dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia yang dijadual berlangsung di Stadium MP Manjung pada 13 Disember.
“Sekiranya tiada aral, pasukan akan terus bergerak ke Johor selepas tamat perlawanan di Manjung,” kata sumber itu lagi.
Ketika Sri Pahang dan JDT bertemu di SSI dalam pusingan pertama Liga Super pada bulan Jun lalu, JDT mencatat kemenangan 3-0 menerusi hatrik Heberty Fernandez.