Perlawanan sengit yang dijangka, akhirnya ia menjadi perlawanan final berat sebelah yang menjadi milik mutlak Selangor.
Itulah kisah final Malaysia Futsal Cup 2025 yang menyaksikan Selangor membaham lawan mereka Pahang Rangers dengan keputusan luar biasa 13-3 dan bergelar juara pada malam gemilang di Arena N9, Nilai.
Cakap-cakap sebelum final tidak seperti itu, pertembungan kedua-dua pasukan yang mengulangi sejarah final 2022 dikatakan antara perlawanan paling menarik bakal dapat disaksikan.
Selangor dengan prestasi dan momentum yang memuncak dilabel sebagai pilihan awal, manakala Pahang Rangers yang mara dengan menyingkirkan JDT penuh bergaya di separuh akhir pula dilabel ada ramuan untuk mengegar menjadikan ia final yang pasti akan dikenang sebagai antara yang terbaik pernah disaksikan.
Malangnya, semua itu sekadar retorik. Pahang Rangers tiada jawapan kepada aksi memukau Selangor yang memecah kebuntuan seawal minit pertama, mendahului 5-1 dalam 10 minit pertama, dan mengakhiri separuh masa pertama dengan kelebihan 9-1.
Mereka cuba bangkit dengan permainan powerplay di separuh masa kedua, walaupun sangat sedar bahawa tidak mungkin sama sekali lapan gol boleh dicari. Kesudahannya Red Giants menambah lagi empat gol manakala dua gol lewat Eqhmal Najmie dan Matheus Moura sekadar menjadi saguhati.
Apa punca Pahang Rangers menjadi selemah ini di final, ini penjelasan Luis Fonseca.
“Kita tewas kepada Selangor yang dari awal diketahui sangat bagus, dan malam tadi mereka jauh lebih bagus daripada kita dalam semua aspek – intensiti, keghairahan, kesungguhan, termasuk bijak mempengaruhi pengadil dan beroleh banyak kelebihan.
“Tetapi saya tidak mencari alasan, Selangor memang berada pada tahap yang sangat tinggi. Kita mencipta peluang, tetapi tidak menterjemahkannya kepada jaringan.
“Saya rasa, kita seharusnya boleh buat lebih baik dan pada akhirnya kita telah mengecewakan penyokong yang datang dari jauh, memberikan sokongan dan meletak harapan tinggi mahu melihat kita memenangi trofi.
“Mereka pastinya sedih melihat final sudahpun berakhir dalam 10 minit pertama, dengan Selangor meneruskan prestasi cemerlang sepanjang musim di perlawanan ini dan mengakhirinya dalam keadaan paling baik.
“Kami membayar harga mahal berikutan kecederaan dialami Hamdin (dialami ketika menentang JDT) dan sehingga malam sebelum final Felipe de Souza dan Moura mengalami demam dan selsema. Akmal pula kena kad merah di separuh masa pertama.
“Apa sekalipun, saya perlu mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pasukan atas musim yang telah kami lalui ini, dan membuka pintu kepada sesuatu yang lebih baik, dengan beberapa perubahan. Terima kasih juga kepada penyokong terbaik dalam Malaysia,” ujar Luis Fonseca kepada Otai Sukan.
Luis Fonseca menyatakan dia akan terbang pulang ke Sepanyol pada Rabu, dan menyerahkan kepada pengurusan untuk memutuskan masa depannya.