Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United berdepan tindakan undang-undang daripada bekas pemainnya, Axel Tuanzebe atas dakwaan kecuaian perubatan, sepertimana dilaporkan media antarabangsa The Telegraph.
Pemain berusia 27 tahun itu yang kini beraksi bersama Burnley, memfailkan tuntutan saman di Mahkamah Tinggi berkaitan nasihat perubatan yang diberikan kepadanya ketika bersama United.
Tuanzebe menyertai akademi United pada usia lapan tahun dan pernah menjadi kapten di setiap peringkat umur kelab itu. Dia meninggalkan Old Trafford pada 2023 selepas hanya membuat 37 penampilan bersama skuad utama berikutan sering dibelenggu kecederaan.
Menurut laporan, peguam Tuanzebe enggan mengulas mengenai tuntutan saman itu yang difailkan sekitar dua tahun lalu sejurus dia meninggalkan kelab berkenaan, malah United juga menolak untuk memberi sebarang komen.
Baca Juga : Ryan Giggs Nasihatkan Tak Perlu Tiru Budaya Bolasepak Barat
Sepanjang kariernya bersama Red Devils, Tuanzebe pernah dipinjamkan ke Aston Villa, Napoli dan Stoke City. Dia pernah mencuri tumpuan apabila cemerlang mengekang Kylian Mbappe dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain, namun gagal menempatkan diri sebagai pemain utama kelab.
Bagaimanapun, dalam hanya dua musim bersama Burnley, dia beraksi lebih banyak berbanding keseluruhan penampilannya sepanjang tujuh tahun di skuad senior United.
Isu kecederaannya bermula pada Oktober 2019 apabila dia mengalami kecederaan pinggul ketika sesi memanaskan badan sebelum perlawanan menentang Liverpool yang berakhir seri 1-1.
Dia kemudiannya disisihkan sepanjang musim selepas mengalami kecederaan lain ketika aksi Piala Carabao menentang Colchester pada Disember. Musim berikutnya, kecederaan kaki pula menyebabkan dia terlepas awal musim, sebelum satu lagi kecederaan panjang menghalangnya daripada berlatih sehingga Januari musim 2022/23.
Kecederaan terus menghantui kariernya termasuk insiden pelik Oktober lalu apabila dia terpaksa menjalani pembedahan selepas jarinya terluka ketika membasuh pinggan mangkuk di rumah.
Situasi itu menyebabkan dia terlepas empat perlawanan sebelum mengalami kecederaan hamstring yang menyingkirkannya dari Disember hingga pertengahan Januari, dan kembali berehat dua perlawanan pada Mac akibat ibu jari patah. – AGENSI