Ia merupakan minggu yang sibuk buat Lamine Yamal, yang pada hari Rabu lalu menandatangani kontrak baharu bersama Barcelona sekaligus mengikat masa depannya di kelab itu sehingga tahun 2031.
Bintang remaja itu telah komited untuk terus bersama Barcelona, dan kontrak enam tahun bakal menjadikannya antara pemain dengan bayaran tertinggi dalam skuad.
Namun begitu, tumpuan utama media lebih terarah kepada sambutan hari lahirnya yang ke-18, yang berlangsung pada malam Sabtu, yang diselubungi kontroversi kehadiran orang kerdil sebagai penghibur.
Meskipun cuba untuk tidak bercakap mengenai perkara itu dalam sidang media, pemberita di Sepanyol tetap mengutarakan soalan mengenai reaksi dan tindakan undang-undang yang akan diambil oleh ADEE (pertubuhan berkaitan golongan kerdil) kepada Lamine Yamal.
Dia memberikan respon tegas – malah secara sengaja bertukar daripada bercakap dalam bahasa Catalan kepada bahasa Sepanyol.
“Pada akhirnya, saya bekerja untuk Barca, saya bermain untuk Barca. Dan bila saya berada di luar kompleks latihan, saya menikmati hidup saya, itu saja,” katanya kepada Sport.
Bapanya, Mounir Nasraoui, yang sering tampil di media, juga tidak berdiam diri. Dalam kenyataannya kepada Europa Press, seperti yang dipetik oleh Sport, beliau menyatakan bahawa reaksi yang timbul adalah berpunca daripada rasa cemburu, dan media Sepanyol seharusnya tidak terlalu sibuk cuba merosakkan mental pemain terbaik mereka.
“Kebanyakan orang, daripada melihat diri sendiri, mereka lebih suka melihat orang lain dari jauh, menjatuhkan mereka, dan akhirnya mereka akan mati kerana cemburu. Itu masalah mereka.”
“Mereka yang bercakap buruk tentang anak saya, lebih baik berjaga-jaga, dan berjaga-jaga betul-betul, kerana Lamine adalah perkara paling berharga yang saya miliki, itu sahaja. Saya juga percaya dia adalah yang terbaik pernah kita miliki dalam dunia bola sepak,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa Lamine Yamal tidak perlu meminta maaf atas apa yang berlaku.
“Saya akan jadi orang pertama yang akan menegur anak saya, dan cakap, ‘Lamine, kamu tak boleh buat begitu, anakku…’ tetapi dalam hal ini, dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.”
ADEE telah mengumumkan bahawa mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Lamine Yamal, manakala Kerajaan Sepanyol turut menjalankan siasatan berhubung acara tersebut.
Bagaimanapun, dua daripada penghibur kerdil yang terlibat dalam majlis itu juga telah bercakap kepada media dan menjelaskan bahawa mereka tidak menerima sebarang layanan yang kurang baik dan menegaskan mereka tidak sesekali dipergunakan Lamine Yamal justeru tidak perlukan ADEE untuk mempertahankan mereka.