Malaysian Football League (MFL) gembira melihat usaha mereka untuk memperkemas struktur Liga Malaysia sejak diasaskan pada 2015, kini menunjukkan hasil positif.
Dalam tempoh 10 tahun, badan itu telah melaksanakan pelbagai pembaharuan bertujuan untuk memperkasa landskap bola sepak negara, terutamanya dari segi pengurusan, penjadualan, serta pelaksanaan peraturan baharu.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata usaha tanpa berputus asa berjaya mewujudkan kalendar bola sepak yang lebih mesra dan kompetitif, sejajar dengan panduan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) serta disesuaikan dengan kehendak domestik.
“Alhamdulillah, selepas 10 tahun, kita mula nampak satu kalendar bola sepak yang lebih ‘friendly’ dan kompetitif. Kita juga telah mula memperkukuh sistem pelesenan kelab,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan bahawa proses transformasi ini turut membawa kesan kepada beberapa pasukan tradisi yang gagal memenuhi kriteria pelesenan, sekaligus menyebabkan mereka tidak dapat bersaing di peringkat tertinggi.
“Mungkin peminat-peminat bola sepak tak boleh menerima sebagai contoh, kita kehilangan pasukan sri Pahang, Kedah, Perak dan sebelum ini kita pernah hilang Perlis, Kelantan, Sarawak.
“Namun begitulah perkara-perkara yang telah kita laksanakan sehinggalah 10 tahun kewujudan FMLLP dan sekarang MFL adalah untuk memastikan perjalanan liga itu berjalan dengan baik,” ujarnya.
Tambah beliau, sokongan daripada pihak ketiga seperti penaja, penyiar rasmi serta pihak industri amat penting dalam menjayakan perjalanan Liga Malaysia.
“Kita perlukan penaja, kita perlukan penyiar rasmi seperti Astro. Kita perlukan aura positif dalam menguruskan dan mengendalikan Liga Malaysia agar ia lebih menarik, berdaya saing dan terus mendapat tempat di hati peminat,” katanya.
Dalam pada itu, Shazli berpendapat sokongan terhadap Liga Super masih berada pada tahap yang positif, berdasarkan peningkatan jumlah kehadiran penyokong dalam perlawanan pramusim pasukan masing-masing.
“Saya rasa persepsi (bahawa sokongan akan berkurangan) timbul disebabkan ketiadaan Kedah, Pahang dan Perak, yang merupakan antara nama besar dalam liga. Ada yang berpendapat kita akan kehilangan sokongan penyokong.
“Tetapi kita dapat lihat bahawa penyokong masih hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan pramusim pasukan mereka. Ini satu perkembangan yang positif,” katanya.
Musim baharu akan bermula pada 8 Ogos dengan perlawanan Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor di Stadium Sultan Ibrahim.