HomeSukanMFL Pinda Jumlah Daftar Pemain, Ini Komen Yusri Che Lah

MFL Pinda Jumlah Daftar Pemain, Ini Komen Yusri Che Lah

Ketua jurulatih Imigresen FC, Yusri Che Lah berkongsi pendapatnya mengenai keputusan Malaysian Football League (MFL) meminda jumlah daftar pemain dengan membenarkan tambahan tiga kuota pemain tempatan kepada semua kelab Liga Malaysia 2025/2026.

Ini menjadikan 33 pemain boleh didaftarkan berbanding 30 sebelumnya, dan Yusri berterima kasih kepada MFL dengan menyatakan ia memberi nafas baharu kepada persiapan pasukannya menjelang sepak mula Liga Super pada minggu ini.

Ujar Yusri, sebagai pasukan baharu yang baru dinaikkan dari Liga A1 Semi-Pro, kelonggaran itu hadir tepat pada waktunya memandangkan Imigresen FC tidak memiliki skuad pembangunan atau pemain muda dari Piala Presiden seperti kelab-kelab mapan lain.

“Langkah ini membuktikan pihak MFL mendengar suara kelab dan berusaha memastikan liga berjalan lebih seimbang,” jelas Yusri.

Tambahnya: “Sebagai kelab baharu, kami bermula hampir dari sifar. Jadi apabila MFL meluluskan tambahan tiga kuota tempatan, ia membuka lebih banyak ruang untuk saya memilih pemain yang benar-benar diperlukan mengikut keperluan taktikal pasukan.”

Untuk makluman, Imigresen FC merupakan antara kelab yang dinaikkan ke Liga Super musim ini, dan kini sedang dalam fasa awal latihan pramusim. Pasukan itu hanya sempat menjalani latihan penuh selama dua minggu, termasuk sesi bersama pemain import yang baru tiba.

“Masa agak terhad, latihan pun masih dalam fasa awal. Pemain import baru sahaja menyertai pasukan, jadi banyak kerja yang perlu disusun bagi membina keserasian,” ujarnya.

Tambah beliau, walaupun persiapan agak singkat, peluang tetap ada untuk membentuk kesebelasan terbaik jika pemain-pemain menunjukkan kesungguhan dalam latihan.

Dalam masa yang sama, beliau juga menaruh harapan besar terhadap impak pemain import.

“Kita tahu dalam bola sepak moden, pemain import memegang peranan penting. Namun, kekuatan sebenar masih terletak pada kombinasi dan keharmonian antara semua pemain, tempatan dan luar,” katanya.

Pengumuman penambahan kuota pemain tempatan oleh MFL baru-baru ini turut memberi kelegaan kepada beberapa kelab lain dari Liga A1 Semi-Pro yang dinaikkan ke Liga Super, yang sebelum ini menghadapi kekangan dalam membentuk skuad mencukupi.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!