HomeSukanMFL Sahkan Tiada Masalah Dengan Lesen KDNFC

MFL Sahkan Tiada Masalah Dengan Lesen KDNFC

Badan bebas First Instance Body (FIB) memaklumkan bahawa tiada sebarang masalah dengan lesen kebangsaan yang diluluskan kepada Kelantan Darul Naim FC (KDNFC).

Sebelum ini beberapa bekas pemain dan anggota pasukan bersuara menyatakan rasa terkilan kelab itu diberikan lesen meskipun masih ada hutang tunggakan gaji belum diselesaikan.

Namun, FIB menerusi Malaysian Football League (MFL) menjelaskan bahawa lesen diberikan setelah dokumen sokongan yang dikemukakan memenuhi Kriteria Kewangan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024–2025.

“Setiap pemohon lesen wajib membuktikan bahawa tiada tunggakan bayaran atau mempunyai pelan penyelesaian bayaran tunggakan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak terhadap pekerja serta pihak berkuasa seperti LHDN, KWSP, PERKESO dan EIS setakat 31 Disember 2024,” menurut kenyataan MFL.

Mereka juga memaklumkan bahawa telah membuat semakan dengan Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM), dan mengesahkan bahawa KDNFC tidak memiliki tunggakan gaji bagi pasukan utama Liga Super KDN FC setakat 31 Disember 2024.

Dengan penjelasan ini, bermakna tunggakan gaji Februari, Mac dan April 2025 yang didakwa belum diselesaikan tidak termasuk dalam kriteria permohonan lesen.

“Bagaimanapun KDN FC telah mengemukakan dokumen sokongan mengenai pelan pembayaran ansuran tunggakan gaji pasukan bawah 23 tahun menerusi surat persetujuan bersama yang telah ditandatangani semua pemain terlibat.

“Dokumen sokongan ini jelas memenuhi keperluan seperti yang ditetapkan dalam Artikel F.04 namun Unit Pelesenan Kelab MFL akan terus memantau secara berterusan pelan pembayaran ansuran tunggakan gaji pasukan bawah 23 tahun ini.

“Berhubung tunggakan kepada agensi kerajaan, KDN FC telah mengemukakan surat permohonan pelan bayaran ansuran kepada pihak KWSP dan PERKESO dengan cop rasmi oleh kedua-dua agensi tersebut.

“Sebagai langkah susulan, pihak FIB telah mengarahkan Unit Pelesenan Kelab MFL untuk memantau pematuhan terhadap pelan ansuran tersebut melalui penghantaran bukti resit bayaran secara berkala sehingga keseluruhan tunggakan diselesaikan.

“FIB ingin menegaskan bahawa jika terdapat sebarang isu berhubung semua penyerahan atau sebarang pengisytiharan yang tidak tepat kepada CLA MFL bagi tujuan memperoleh lesen untuk musim 2025-2026, siasatan boleh dimulakan terhadap perkara tersebut,” tambah MFL.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!