Penyerang baru Harimau Malaya, Jordan Mintah, akui bukan mudah pulihkan mood di kem kebangsaan selepas kontroversi penggantungan FIFA terhadap tujuh pemain warisan.
Penyerang Kuching City itu yang dipanggil pertama kali oleh Peter Cklamovski, dikenali dengan senyuman mesra serta tenaganya yang positif.
Namun, penyerang kelahiran Ghana itu mengakui bahawa mengubah mood dalam kem Harimau Malaya selepas isu penggantungan FIFA baru-baru ini bukanlah tugas seorang individu semata-mata.
Pemain berusia 30 tahun itu, yang secara rasmi menjadi warganegara Malaysia pada Ogos lalu, berkata bahawa kesatuan dan kekuatan bersama adalah perkara paling penting buat skuad kebangsaan ketika mereka bersiap untuk aksi kelayakan pusingan ketiga Piala Asia 2027 menentang Laos.
Minggu lalu, FIFA mengenakan denda sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.8 juta) ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain kacukan — Facundo Garces, Jon Irazabal, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Hector Hevel, Joao Figueiredo dan Gabriel Palmero — atas dakwaan terdapat pemalsuan dalam dokumen pendaftaran mereka ketika Malaysia bertemu Vietnam pada Jun lalu.
Ketujuh-tujuh pemain tersebut dengan pantas menjadi tonggak penting skuad Malaysia, terutamanya Figueiredo yang menjaringkan tiga gol dalam tiga penampilan.
Mintah, yang beraksi di Malaysia sejak 2020 dan kini mengetuai barisan serangan Kuching City, percaya bahawa detik sukar ini boleh menguatkan lagi semangat pasukan.
“Saya tidak mampu lakukan semua ini seorang diri. Bila bercakap tentang pasukan kebangsaan, semua orang perlu kuat dan bersatu, serta lakukan yang terbaik untuk negara. Semua orang kena bawa aura positif itu,” kata Mintah.
“Cerita dan spekulasi kebelakangan ini telah menimbulkan banyak fikiran negatif, tapi kita mesti ketepikan semua itu. Saya harap rakan sepasukan dan pengurusan dapat bersatu. Kita semua dalam perkara ini bersama-sama, dan kita perlu bawa negara ke hadapan.”
Panggilan pertama Mintah ke skuad kebangsaan hadir pada waktu yang cukup penting, dengan Malaysia bakal menentang Laos di Vientiane pada 9 Oktober sebelum aksi timbal balik di Bukit Jalil pada 14 Oktober.
Penyerang itu berkata beliau amat berbesar hati dipilih dan berterima kasih kepada jurulatih Peter Cklamovski kerana mempercayainya.
“Untuk membalas kepercayaan itu, saya akan lakukan yang terbaik untuk negara,” katanya. Sejujurnya, saya tidak sangka ia datang secepat ini. Saya percaya semua berlaku atas berkat Tuhan. Saya tidak akan kecewakan sesiapa.”