Minggu ini akan menjadi minggu cukup penting buat tiga pasukan dalam saingan Malaysian Premier Futsal League (MPFL) yang semakin menghampiri kemuncaknya.
Juara bertahan, JDT hanya memerlukan satu mata menentang Sabah pada Sabtu untuk bergelar juara buat kali kedua berturut-turut.
Dengan prestasi ditunjukkan sepanjang musim ini, pasukan kendalian Juan Antonio Miguel Garcia yang telah menang kesemua 12 perlawanan diyakini tidak mempunyai masalah besar untuk meneruskan rekod sempurna mereka walaupun bermain di tempat lawan di Putatan.
Hanya keajaiban sahaja yang boleh menyekat pasukan Harimau Selatan yang berpesta jaringan hampir dalam setiap perlawanan.
Bagi Selangor, mereka sebenarnya secara matematik masih boleh bergelar juara jika keajaiban tersebut berlaku. Pasukan kendalian Edgar Baldasso itu akan menentang pasukan tangga ketiga, Pahang Rangers pada hari yang sama.
Jika Sabah mencipta kejutan besar dengan menewaskan JDT, dan Selangor pula menang ke atas Pahang Rangers, maka penentuan kejuaraan akan meleret ke perlawanan terakhir musim ini di antara JDT dan Selangor di Pasir Gudang pada 12 Julai.
Tetapi jika kembali berpijak pada realiti, gelaran juara sebenarnya sudah boleh dilupakan Selangor, sebaliknya mereka perlu memastikan tidak tergelincir dari kedudukan kedua liga. Ini kerana jika Pahang Rangers yang menang, Selangor berpotensi besar jatuh ke nombor tiga pada hari terakhir nanti.
Situasi 1:
JDT seri atau menang lawan Sabah, mereka akan muncul juara tanpa mengambil kira keputusan perlawanan antara Selangor dan Pahang Rangers.
Selangor akan muncul naib juara jika seri atau berjaya menewaskan Pahang Rangers, tetapi jika Pahang Rangers yang menang maka penentuan naib juara akan berlanjutan ke perlawanan terakhir.
Selangor akan menentang JDT di Pasir Gudang manakala Pahang Rangers akan menentang Malaysian University di Shah Alam.
Situasi 2:
JDT kalah, mereka akan juara jika Selangor juga kalah ataupun seri lawan Pahang Rangers.
Tetapi jika Selangor menang, kejuaraan akan ditentukan pada perlawanan terakhir. Manakala Pahang Rangers akan sah mengakhiri liga di tempat ketiga.
Pahang Rangers hanya berpeluang untuk melonjak ke tangga kedua, jika menang kedua-dua perlawanan menentang Selangor dan Malaysia University, sambil mengharapkan Selangor tewas kepada JDT.