HomeSukan"Nak Berlatih Pun Tiada Padang" - Fandi Ahmad

“Nak Berlatih Pun Tiada Padang” – Fandi Ahmad

Fandi Ahmad mendedahkan pasukannya tiada padang untuk berlatih dan sepanjang seminggu lalu hanya berlatih secara alternatif lain.

Ada cerita menarik didedahkan Fandi Ahmad selepas Sri Pahang menyingkirkan Selangor dari saingan Piala Malaysia pada Ahad.

Ketua jurulatih Sri Pahang itu berkata, aksi menentang Selangor itu adalah kali pertama pasukannya menjejak kaki ke padang selepas tempoh hampir seminggu.

“Begitulah situasi dan masalah yang kami hadapi. Kali terakhir kami bermain di padang, ketika 1st leg di Temerloh. Selepas itu pulang ke Kuantan, cuaca tidak bagus, tiada padang untuk digunakan. Jadi kami hanya berlatih di gelanggang futsal dan padang sintetik berhadapan stadium.

“Ini kali pertama kami jejak kaki ke padang selepas tempoh hampir seminggu, jadi dengan persiapan tidak begitu lancar kami tewaskan Selangor pastinya sangat menggembirakan,” ujar Fandi selepas perlawanan.

Pada perlawanan di Stadium MBPJ itu, Sri Pahang mencatat kemenangan 2-1 dan mara ke suku akhir dengan agregat 3-2.

Baca juga: Jurulatih Selangor Salahkan VAR Punca Tewas Kepada Sri Pahang

Manuel Hidalgo menyempurnakan penalti pada minit ke-25 namun Selangor tampil lebih agresif selepas itu untuk mendapatkan jaringan penyamaan.

Selangor berjaya menyamakan kedudukan menerusi kapten, Safuwan Baharudin tetapi Sri Pahang keluar sebagai pemenang setelah Sergio Aguero menyudahkan satu lagi penalti yang dihadiahkan pada minit ke-84.

Mengenai taktikal lambung dan hambat bola yang digunapakai, ini jawapan Fandi Ahmad.

“Kita bermain dengan cukup disiplin dan rancangan kita ke sini memang untuk tidak bermain secara terbuka. Kita teruskan bermain secara ‘compact’ dan kelebihan kita adalah semangat juang dan semangat bersatu daripada pasukan.

“Tujuannya memang nak undang SFC datang (menyerang), jadi sebab itulah kita banyak duduk di belakang dan kita gunakan kepantasan di bahagian sayap terutamanya menerusi sayap kiri,” katanya.

Di suku akhir, Sri Pahang akan berdepan dengan Perak yang layak dengan menyingkirkan Kelantan Darul Naim FC.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!