Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Yusoff Mahadi berpendapat kejayaan beliau mempertahankan jawatannya pada Kongres Pemilihan FAM yang akan berlangsung pada 15 Februari depan, membuktikan kepercayaan ahli gabungan terhadapnya.
Meskipun belum rasmi, tetapi berdasarkan pencalonan yang berakhir pada Khamis lalu, Yusoff bersama-sama seorang lagi Timbalan Presiden Datuk S.Sivasundaram sudahpun menang tanpa bertanding setelah tiada individu lain dicalonkan untuk menyaingi mereka.
Baca Juga: “Biarlah Mereka Menang Tanpa Bertanding” – Naib Presiden FAM
Kedua-duanya akan kekal di kerusi nombor dua badan induk itu, buat penggal ketiga berturut-turut.
Hanya pemilihan bagi jawatan Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa (Exco) sahaja akan berlangsung memandangkan jawatan Presiden juga akan diisi Datuk Joehari Ayub tanpa disaingi.
Bagi Yusoff, dia sedar ada cakap-cakap belakang yang mempertikaikan apa sumbangan dia dan Sivasundaram buat bolasepak tanah air. Penyokong merasakan adanya mereka di dalam kepimpinan tertinggi FAM tidak ubah seperti parasit, dan orang lama seperti mereka sudah sepatutnya berundur dan memberi ruang kepada wajah lain.
Namun, beliau tidak terkesan dengan segala pendapat atau pandangan sinikal tersebut kerana yang memberi kepercayaan kepadanya untuk membawa FAM ke arah lebih baik dan merubah wajah bolasepak negara adalah ahli gabungan.
“Pada saya, setiap individu atau pihak tertentu mempunyai pandangan tersendiri. Saya sememangnya muka lama namun tidak bermakna tak boleh untuk bekerjasama meningkatkan lagi kualiti bola sepak negara.
“Jika saya tidak disukai sudah tentu tidak akan dicalonkan oleh ahli gabungan. Saya kira, pemilihan kali ini ada kombinasi baharu dan lama dan itu sebenarnya akan menjadikan struktur kepimpinan FAM lebih baik,” katanya dipetik dari Arena Metro.