HomeSukanNak Rasa Angkat Piala Sebelum Bersara - Shahrul Nizam

Nak Rasa Angkat Piala Sebelum Bersara – Shahrul Nizam

Pemain pertahanan Terengganu, Shahrul Nizam Ros Hasni menyimpan hasrat besar mahu mendakap piala sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada arena bolasepak.

Menurutnya dalam laporan disiarkan Astro Arena, “Kalau tanya pemain, mesti nak piala. Tetapi saya dah umur 27 tahun, satu piala pun tiada lagi. Insya-Allah kalau ada rezeki.”

Bintang kelahiran Kelantan itu paling hampir merasai nikmat mengucup piala adalah pada 2023, apabila Terengganu mara sehingga ke final Piala Malaysia namun terpaksa akur dengan gelaran naib juara selepas tewas 1-3 kepada JDT.

Ia sekaligus mengulangi skrip sama yang berlaku setahun sebelumnya di final Piala FA, apabila Terengganu tewas 1-3 kepada JDT.

Baca Juga: Nijey Kini Centreback Kedua Termahal Liga Malaysia

Shahrul Nizam ataupun lebih dikenali sebagai Nijey dalam kalangan rakan sepasukan, beraksi kesebelasan utama dalam kedua-dua perlawanan itu.

Sebagai rekod, sejak menyertai Terengganu lima tahun lepas, Shahrul Nizam telah membuat lebih 100 penampilan bersama pasukan gergasi pantai timur itu.

Dia berjaya memenangi hati penyokong dengan aksi solid lantas mengukuhkan reputasinya sebagai tonggak keampunan pertahanan Terengganu. Seterusnya menyerlah sebagai antara pertahanan tengah terbaik dalam negara.

Shahrul Nizam juga merupakan antara pertahanan tengah tempatan termahal Liga Malaysia, dengan hanya Dominic Tan (Sabah) berada di atasnya.

Di sebalik kemegahan tersebut, Shahrul Nizam pada hakikatnya tidak pernah berpeluang mewakili skuad senior kebangsaan. Dia pernah dipanggil hanya dua kali ke kem latihan pusat skuad kebangsaan, yang terakhir pada Mei 2022 oleh Kim Pan-gon.

Manakala yang pertama adalah pada Oktober 2021. Namun dia gagal melapor diri ke kem kebangsaan setelah dipanggil Tan Cheng Hoe pada saat akhir menggantikan Dion Cools yang cedera.

Dia ketika itu gagal dihubungi FAM mahupun kelabnya untuk dimaklumkan bahawa dia perlu melapor diri ke kem kebangsaan. Ini berikutan dia telah lebih awal turun ke laut untuk mencandat sotong.

Semoga Shahrul Nizam dapat merealisasikan impiannya menjulang piala dan terus konsisten meningkatkan prestasi seiring status selaku antara centre-back termahal Liga Malaysia, seterusnya dapat memperkasa benteng skuad kebangsaan satu hari nanti.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!