HomeSukanNegeri Sembilan Cipta Rekod di SSI Seawal Perlawanan Pertama

Negeri Sembilan Cipta Rekod di SSI Seawal Perlawanan Pertama

Baru perlawanan pertama, Negeri Sembilan (NSFC) mencuri tumpuan ramai apabila tampil mencemaskan juara bertahan JDT sebelum tumbang 3-5 dalam aksi Liga Super 2025 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Selasa.

Anak buah Nidzam Jamil mendahului 2-0 pada satu ketika, sebelum berdepan kebangkitan yang sudahpun dijangka daripada JDT.

Lebih menarik, mungkin tidak ramai sedar, ini kali pertama sebuah pasukan domestik berjaya menjaringkan lebih daripada dua gol di Stadium Sultan Ibrahim. Negeri Sembilan menjadi pasukan Liga Malaysia pertama menjaringkan tiga gol di venue ini yang mula digunakan pada 28 Februari 2020.

Ia sekaligus menyaksikan skuad Hobin Jang Hobin mencipta rekod baru di Stadium Sultan Ibrahim selepas 84 perlawanan dalam tempoh enam tahun.

Dalam perlawanan tersebut, jaringan awal Joseph Esso dan Jovan Motika mengejutkan lebih 12,000 penyokong tuan rumah, sebelum Harimau Selatan menunjukkan taring sebenar menerusi dua gol Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Arif Aiman untuk mendahului 4-2.

Motika meledak jaringan kedua peribadi untuk merapatkan defisit, namun jaringan Bergson da Silva memastikan kemenangan mutlak buat JDT.

Menurut pengendali JDT, Xisco Munoz: “Kami berdepan situasi yang berbeza dalam perlawanan ini, kami tidak bermula dengan baik terutama 20 minit babak pertama.

“Perkara yang paling penting kami perlu faham dan belajar adalah cara memulakan perlawanan dengan lebih agresif supaya perkara yang sedemikian tidak berulang. Pada aksi pertama liga kami menyerlah apabila menjaringkan gol awal tetapi pada perlawanan malam ini (malam tadi) kami leka sehingga mudah pasukan lawan menghukum.

“Pergerakan transisi kepada menyerang itu perlu diperkemaskan, NSFC nampak kelemahan itu dan mereka guna kesempatan untuk melakukan serangan balas. Saya akui masih ada ruang untuk diperbaiki dan mereka mengajar kami sesuatu yang berguna hari ini.

“Tetapi saya seorang yang positif dan berusaha memperbaiki corak permainan, walaupun kami ada buat kesilapan namun kami perlu menambah baik taktikal permainan terutama bagi bermain secara menyerang dan bertahan dan kami ada kekuatan di bahagian pertahanan dan serangan.”

 

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!