Tiada titik noktah nampaknya bagi masalah tunggakan gaji melanda arena bolasepak tanah air. Dari team profesional di Liga Malaysia hingga ke team amatur di Liga A1 Semi-pro, masalah tunggakan gaji merebak seperti barah dan dilihat tiada penawarnya.
Ketika kita rancak memperkatakan tentang isu gaji pasukan-pasukan di Liga Super seperti Kedah, Kelantan Darul Naim, Perak serta Sri Pahang FC; beberapa pasukan di Liga A1 juga semakin hampir untuk ‘bungkus’ gara-gara masalah sama.
Baca juga: Detik Paling Sukar Dalam Karier Sebagai Pemain
Terpalit dengan isu tunggakan gaji sejak beberapa bulan lalu, masalah PIB Shah Alam FC nampaknya semakin kritikal apabila pemilik kelab menghilangkan diri.
Flash Sukan melaporkan bahawa kelab itu berdepan masalah kewangan yang serius dan sudah enam bulan tidak membayar gaji anggota pasukan, dengan pembayaran terakhir adalah bagi bulan Jun 2024.
“Memasuki bulan Julai, pembayaran gaji mulalah tergendala, dan situasi menjadi semakin kritikal apabila tunggakan ini berlanjutan sehingga enam bulan.
“Pemain dan staf dilaporkan telah mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan, termasuk menghubungi pemilik kelab secara langsung.
“Malangnya, usaha tersebut menemui jalan buntu apabila pemilik dikatakan menghilangkan diri dan hanya memberikan jawapan melalui wakil-wakil tertentu,” kata sumber dipetik dari Flash Sukan.
Sumber berkenaan turut mendedahkan bahawa pemilik kelab telah berjanji untuk menyelesaikan tunggakan gaji dalam masa dua bulan, namun pemain kemudiannya hanya menerima bayaran RM500 seorang.
“Janji tersebut akhirnya tidak ditepati, dan pemilik kembali menyepi, meninggalkan pemain serta staf tanpa sebarang kepastian.
“Masalah kewangan yang berpanjangan memberikan kesan besar terhadap motivasi pemain. Prestasi pasukan di atas padang jelas terjejas, apabila mereka tewas beberapa perlawanan penting,” katanya kesal.
Tak Cukup Pemain, Goalie Main Sebagai Striker
Masalah tunggakan gaji menyebabkan pemain-pemain mula berat hati untuk turun berlatih mahupun bermain.
Dalam satu perlawanan menentang Manjung City, pasukan PIB Shah Alam hanya mampu menurunkan sembilan pemain, sekaligus menjadi bahan jenaka di media sosial. Mereka tewas perlawanan itu 0-4.
Puncak kepada krisis ini berlaku dalam perlawanan menentang Armed Forces FC pada 7 Disember lepas.
“Pada masa itu juga, timbul cerita bahawa pihak kelab enggan membenarkan wartawan membuat liputan mengenai isu yang berlaku, sekali gus menambahkan lagi tanda tanya dan spekulasi dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak tempatan.
“Pasukan mengalami kekalahan besar, 8-0, tanpa kehadiran jurulatih di bangku simpanan. Situasi menjadi lebih parah apabila seorang penjaga gol terpaksa beraksi sebagai penyerang bagi mencukupkan bilangan pemain,” ujarnya.
Selepas itu, mereka kecundang lagi 0-5 kepada Machan FC dan 0-8 kepada Bunga Raya Damansara FC meskipun pada awalnya mempertimbangkan untuk tidak turun bermain sebagai tanda protes.
“Kita bimbang, kelab berisiko dikenakan denda atau pemotongan mata oleh badan pengelola liga jika berbuat demikian,” keluhnya.
Sebagai rekod, PIB Shah Alam FC ketika ini di kedudukan ke-11 Liga A1 Semi-pro, dengan 25 mata hasil tujuh kemenangan, empat seri dan 12 kali tewas.