Home Sukan Pahang Rangers Hilang Khidmat Pemain Tonggak

Pahang Rangers Hilang Khidmat Pemain Tonggak

0
669

Musim futsal 2025 sudahpun melabuhkan tirai pada bulan lalu, dengan kemuncaknya Selangor muncul juara Malaysia Futsal Cup 2025 dengan membenam Pahang Rangers dalam aksi final.

Kini semua pasukan berada dalam fasa off-season, namun dalam masa sama aktiviti-aktiviti keluar masuk pemain juga sudahpun bermula terutama membabitkan tiga pasukan yang saban tahun mencabar kejuaraan Selangor, Pahang Rangers dan JDT.

Bagi pasukan Pahang Rangers kendalian Luis Fonseca, mereka bakal kehilangan khidmat bintang import Matheus Moura selepas hanya satu musim bersama. Perkara itu disahkan sendiri Moura kepada OtaiStation.

“Ya benar saya sudah tidak akan bersama Pahang Rangers selepas ini, lawan Selangor itu adalah aksi terakhir saya. Sedikit terkilan kerana tidak dapat menangi trofi sebagai hadiah perpisahan buat pasukan dan penyokong.

“Semusim di sini satu pengalaman hebat buat saya, musim yang penuh suka duka, menjaringkan gol, menang, kalah, dilayangkan kad merah, patah tangan tapi terus bermain dalam kesakitan. Semuanya saya rasai di sini.

“Penyokong Pahang antara yang terbaik pernah saya ketemu, saya akan merindui suasana di Kuantan. Buat masa ini saya balik ke Brazil dan kemudian bermain dengan kelab di sana. Sebelum menyertai kelab baru di Thailand pada Mac nanti,” ujar Moura.

Sepanjang bersama Pahang Rangers, Moura membuat sebanyak 16 penampilan, menjaringkan 18 gol dan mencetak 17 assist. Berdasarkan statistik oleh Pahang Rangers, Moura merupakan pemain dengan minit permainan paling tinggi musim ini, sekaligus membuktikan betapa besar peranan pemain ini dalam membantu mereka menamatkan liga di kedudukan ketiga, dan muncul naib juara MFC.

Antara momen-momen penting adalah hatrik ketika menewaskan Malaysian University serta gol ketika separuh akhir MFC menewaskan JDT di Pasir Gudang. Gerakan yang membawa gol itu juga membuatkan jurulatih JDT (Juan Miguel) geram dan naik angin dengannya.

Moura juga menjaringkan salah satu daripada tiga gol Pahang Rangers dalam aksi final MFC.

Difahamkan selain Moura, Pahang Rangers turut tidak menyambung kontrak jurulatih kecergasan David Llorente Cobeno kerana dia memilih untuk pulang ke Sepanyol bagi melanjutkan pelajaran.

error: Content is protected !!