Pemain-pemain luar negara yang telah dikenalpasti Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai berdarah Malaysia dan boleh bermain dengan skuad kebangsaan atas kapasiti sebagai pemain warisan, pastinya bukan calang-calang.
Jurulatih berpengalaman luas, Wan Jamak Wan Hassan percaya Tunku Ismail pastinya tidak ‘merekemen’ seseorang pemain itu secara sembrono atau sekadar tangkap muat, sebaliknya telah membuat penilaian terperinci.
“Tindakan Tunku Mahkota Ismail membawa masuk enam lagi pemain warisan untuk pasukan negara dilihat untuk kita mendapat keputusan yang cepat. Maknanya, untuk jangka pendek, ini yang terbaik untuk pasukan negara.
“Saya pasti Tunku Mahkota Ismail akan menilai pemain yang terbaik. Selama ini ada pemain naturalisasi yang tidak setanding dengan pemain tempatan, jadi kita harap kali ini pemain itu lebih bagus dari pemain sedia ada,” katanya dipetik dari BH Sukan.
Menurut Wan Jamak, perkara paling penting dalam pembentukan pasukan mantap adalah persefahaman semua pemain selain memahami perancangan jurulatih.
“Pada saya, siapa pun yang datang ke dalam pasukan, yang penting adalah persefahaman. Kalau mereka (pemain warisan) cepat dapat pasport Malaysia, mungkin jurulatih ada masa yang baik untuk bentuk pasukan.
“Ia juga akan mampu membentuk persefahaman yang baik dalam pasukan bagi melakukan persiapan untuk kelayakan Piala Asia 2027.
“Jurulatih dan staf profesional serta orang yang memegang tampuk pengurusan pasukan pun orang yang berpengalaman dan tahu mengenai bola sepak. Saya berasa jika benda ini dapat diadunkan semua sekali, tak mustahil untuk dapat satu keputusan dalam jangka singkat,” katanya lagi.
Untuk makluman, Tunku Ismail sebelum ini memaklumkan bahawa beliau telah mengenalpasti seramai 6-7 pemain warisan untuk memperkuatkan Harimau Malaya.
Berita Berkaitan: Team TMJ Telah Kenalpasti Pemain Warisan
“Pertahanan tengah, pertahanan kiri, penyerang, pemain tengah, tengah menyerang dan sayap kiri. Majoriti bermain di liga utama di Eropah. Tiada dari England, kebanyakan Selatan Eropah,” menurut Tunku Ismail.
Beliau menyatakan harapan agar kerajaan akan membantu dalam proses mendapatkan pasport Malaysia dengan segera agar khidmat masing-masing boleh digunakan di pusingan kelayakan Piala Asia 2027 pada bulan Mac nanti.