HomeRencana"Pecah Rekod 10 Kali Pun Tak Guna Kalau Setakat Duk No.10"

“Pecah Rekod 10 Kali Pun Tak Guna Kalau Setakat Duk No.10”

“Pecah rekod 10 kali pun tak guna kalau setakat duk no.10”, Presiden PABM tidak teruja dengan pencapaian Aniq Kasdan pecah rekod kebangsaan.

Jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan berjaya memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam acara snatch kategori bawah 61 kilogram (kg) lelaki pada Kejohanan Angkat Berat Asia di China, Sabtu lalu.

Aniq melakukan angkatan 125kg dan 128kg sebelum mencipta rekod baharu negara menerusi angkatan 132kg dalam percubaan terakhirnya.

Bagaimanapun, juara Sukan Komanwel itu gagal dalam ketiga-tiga percubaan clean and jerk seberat 163kg, sekaligus terlepas peluang berada di kedudukan podium keseluruhan kejohanan.

Mengulas prestasi tersebut, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia, Datuk Ayub Rahmat memberi sindiran pedas, bahawa tiada guna pecah rekod berkali-kali jika tidak dapat menyumbangkan pingat.

“Di peringkat antarabangsa, kita mahu pingat, bukan pecah rekod kebangsaan. Kalau awak pecah sampai 10 kali pun, tapi hanya di tempat ke-10, ia tidak membawa makna kepada negara,” katanya dipetik dari laporan BH Sukan.

Ayub menegaskan, pencapaian keseluruhan pasukan negara dalam kejohanan itu juga tidak begitu memberangsangkan namun ia dianggap sebagai pendedahan awal selepas berehat agak lama daripada penyertaan pertandingan antarabangsa sejak Kejohanan Dunia di Manama, Bahrain Disember lalu.

“Kita anggap Kejohanan Asia ini sebagai pemanas badan sebelum kejohanan kelayakan Sukan Komanwel di India pada Ogos nanti.

“Fokus utama PABM adalah memastikan keempat-empat atlet utama kita (Aniq, Aznil Bidin, Erry Hidayat dan Hafizuddin Roslin) layak ke Sukan Komanwel kerana mereka disasarkan untuk memenangi pingat emas di sana,” katanya.

Selain Aniq, Hafizuddin turut memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam kategori 81kg di China apabila mengangkat 155kg dalam acara snatch, mengatasi catatan lamanya 152kg yang dilakukan di Thailand tahun lalu.

Tambah Ayub lagi, PABM sudah mengarahkan laporan prestasi terperinci disediakan bagi setiap atlet yang bertanding di China bagi membolehkan pihak pengurusan dan kejurulatihan menilai kelemahan serta merangka langkah penambahbaikan menjelang kejohanan kelayakan di India yang disifatkan sebagai penanda aras penting.

“Kita mahu semua yang kita sasarkan untuk emas di Sukan Komanwel layak ke temasya itu melalui kejohanan di India nanti. Kalau layak di India, tidak perlu lagi lalui kejohanan kelayakan lain,” katanya.

Mengulas kategori baharu yang akan diperkenalkan selepas ini, Ayub memaklumkan Aniq akan bertanding dalam kategori 60kg bermula kejohanan di India nanti, menggantikan kategori 61kg yang sudah dimansuhkan.

“Kita tak tahu lagi siapa pencabar sebenar dalam kategori 60kg, tapi di India nanti kita boleh dapat gambaran yang lebih jelas,” katanya.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!